SELEPAS lama berehat, skuad Harimau Malaya kembali mengaum apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyenaraikan nama 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon pada Rabu.
Kesemua pemain dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu, Terengganu bermula 10 Jun 2023 bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, masing-masing pada 14 dan 20 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
“Pan-gon telah mengekalkan seramai 17 daripada 27 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru, Johor pada Mac 2023,” kata kenyataan rasmi yang dimuatnaik FAM.
Bagaimanapun, kapten Harimau Malaya, Dion Cools tidak dapat bersama-sama untuk menyertai kem latihan pusat kali ini kerana melangsungkan majlis perkahwinannya.
“FAM dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya mengucapkan tahniah kepada beliau dan isterinya,” sambung kenyataan itu lagi.
Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.
Seperkara unik mengenai Natxo yang berusia 37 tahun apabila menjadi pemain paling tua yang mendapat panggilan skuad kebangsaan. Rekod sebelum ini dipegang Zainal Abidin Hassan (36 tahun).
Malaysia akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun sebelum menentang Papua New Guinea bagi aksi kedua pada 20 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.