SETELAH berjaya melakukan kejutan pada pusingan pertama liga, PDRM FC bersedia memulakan kempen pusingan kedua Liga Super dengan nota kejayaan apabila berhadapan Sabah FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Khamis.

Masih segar dengan dua kemenangan berturut-turut keatas Kelantan FC dengan terbaharu menundukkan Selangor FC 1-0 pada Sabtu, ianya sudah cukup untuk memberikan keyakinan buat skuad kendalian Azzmi Aziz meneruskan rentak cemerlang dan melakar kejutan terbaharu.

Sang Saka Biru juga berjaya mengekalkan dua ‘clean sheet’ dan ramai yang sudah mula membuka mata dengan kehadiran PDRM FC yang kini dianggap pakej yang paling mengejutkan sepanjang pusingan pertama.

Pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz

Namun begitu, Azzmi tidak mahu mendabik dada sebaliknya percaya pasukannya mampu untuk memberikan saingan yang lebih baik kepada Sabah meskipun mengakui kualiti yang ada pada Skuad Badak.

“Untuk perlawanan esok, saya percaya kita akan bagi saingan yang lebih kepada Sabah kerana bermain di laman sendiri. Kami bermain baik ketika tewas di Likas tetapi perlu diakui Sabah adalah pasukan yang berkualiti kerana mereka akan bermain di Piala AFC.

Motivasi pasujan juga sangat-sangat baik selepas menewaskan Selangor tetapi ini adalah permainan yang lain dan saya tetapi akan fokus kepada corak bertahan dan serangan balas dan percaya pemain bersedia untuk beraksi lebih baik dalam perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Ong Kim Swee

Sementara itu, pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee pula mahu pemainnya menganggap aksi bertemu PDRM adalah penting dalam memburu kemenangan di laman lawan, sesuatu yang menjadi kekurangan buat Sabah FC pada pusingan pertama.

“Ianya adalah satu perlawanan yang penting dan kita tidak boleh mengambil mudah kerana kalau kita mengambil mudah dan memikirkan PDRM adalah pasukan yang kurang baik kita akan dihukum.

“Kita juga harus kembali ke landasan dimana perlu memastikan apa yang telah kita lakukan pada awal saingan liga dapat dilakukan dengan serangan dan kawalan permainan lebih baik,” ujar Ong.

Ketika aksi pembukaan Liga Super di Stadium Likas pada Februari, Sabah menewaskan PDRM 4-0 hasil dua jaringan Saddil Ramdhani dan masing-masing satu dari Park Tae-su dan Stuart Wilkin.