FOTO : Malaysian Cub Prix
KEJUARAAN Petronas Malaysian Cub Prix, pusingan keempat akan berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa Selatan hujung minggu ini.
Penunggang pasukan Yamaha Estremo 27 Racing, Emil Idzhar Ezuan berazam meneruskan usahanya ke arah hatrik dalam kategori Wira KBS.
Hanya lapan mata kurang daripada pelumba di kedudukan pertama, Emil telah memaparkan kebolehannya dalam menguasai litar untuk dua pusingan berturut-turut.
Emil yang pada awalnya hanya merupakan pengganti bagi Danish Abdul Rahman yang mengalami kecederaan kini akan berlumba dalam pasukannya sepanjang musim ini.
“Saya gemar litar teknikal. Di Litar Jasin hari itu, cabarannya adalah bonggol-bonggol di selekoh dan keadaan litar yang agak berbukit.
“Bagi saya, apa yang menarik mengenai Litar jasin adalah bulatan ataupun roundabout yang membuatkannya unik dan berbeza daripada litar-litar yang lain. Itu adalah pertama kalinya saya berlumba di litar sebegitu,” ujarnya akan berlumba di Litar Sepang buat pertama kali pada pusingan yang akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN : Syukran sambar kejuaraan tempat kelahiran ‘boss’
Musim ini adalah musim pertama bagi Emil berlumba di kejuaraan Cub Prix. Sebelum ini, Emil giat dalam Kejuaraan Mini Cub Prix dan kejuaraan motorsikal yang lain.
Sebagai seorang pelumba amatur dalam kategori Wira KBS, Emil telah tampil dengan prestasi yang mengagumkan, lebih-lebih dengan kemahirannya untuk mengendali jentera di litar-litar teknikal yang memerlukan kepakaran teknikal untuk berada di kelompok hadapan.