BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke suku akhir Terbuka Singapura 2023 sekali gus berpeluang membalas kekalahan di Malaysia Masters, minggu lalu, apabila dijadual menentang gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, esok.
Pada aksi di Stadium Tertutup Singapura hari ini, Aaron-Wooi Yik menumpaskan satu lagi gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dengan straight set 21-18-21-17.
Pertemuan itu adalah yang pertama antara Aaron-Wooi Yik dengan gandingan ke-13 dunia sedang meningkat naik itu.
Dalam pada itu, pertembungan Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia dengan Carnando-Marthin esok dijangka berlangsung sengit, selepas gandingan dari Indonesia itu mencatat dua kemenangan ke atas juara dunia 2022, pada tahun ini.
Carnando-Marthin meraih dua kemenangan dalam tiga pertemuan tahun ini iaitu diMalaysia Masters dan Seluruh England manakala Aaron-Wooi Yik menewaskan lawannya itu di Kejohanan Badminton Asia, April lalu.
Sebelum itu, Aaron-Wooi Yik merekodkan empat kemenangan ke atas Carnando-Marthin sejak mereka mula bertemu di Terbuka Thailand 2021.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan ketujuh dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn 18-21, 24-22, 13-21 dalam tempoh satu jam 6 minit.
Turut tersingkir, beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kecundang di tangan gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 18-21, 21-18, 13-21.