PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menganggap kebangkitan yang ditunjukkan skuad Tok Gajah sebagai luar biasa selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 4-3 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat.

Sri Pahang yang ketinggalan 1-3 ketika permainan berbaki 10 minit, bangkit dengan tiga gol sekaligus mengelak kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Super dan menafikan kejayaan Skuad Jang yang beraksi baik pada 25 minit pertama perlawanan.

Fandi berkata kemenangan itu lebih kepada semangat juang tinggi dan sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan anak-anak buahnya sekaligus menceriakan hampir 3,000 penonton yang hadir ke stadium memberikan sokongan.

“Alhamdulillah, pemain menunjukkan persembahan luar biasa dan mereka memberikan lebih 200 peratus pada babak kedua untuk memastikan kejayaan kepada pasukan dan apa yang penting, kita kembali mengutip tiga mata selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

“Sebelum berdepan Negeri Sembilan, saya amat berharap Sri Pahang tidak mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut dan bersyukur pasukan bangkit mencatat kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Fandi juga tidak menolak kemungkinan ketiadaan Herold Goulon yang dikeluarkan pada babak kedua adalah salah satu faktor yang membantu Sri Pahang bangkit menjaringkan tiga gol.

“Ketinggian yang dimiliki Goulon sering memotong percubaan yang dilakukan dan dia juga bagus mengawal barisan pertahanan. Saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya bangkit biarpun tanpa lima pemain yang berdepan masalah kecederaan dan penggantungan,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tok Gajah bangkit saat akhir benam Negeri Sembilan

Dalam perlawanan dramatik itu, Sri Pahang bangkit menerusi dua dijaringkan Stefeno Brundo pada minit ke-23 dan 90 manakala masing-masing satu oleh David Rowley dan Kpah Sherman minit ke-80 dan minit kelima tambahan masa babak kedua.

Sementara tiga gol Negeri Sembilan pula masing-masing dijaringkan oleh Herold Goulon pada minit kelapan, Shahrel Fikri dan Casangrande pada babak pertama.

Meskipun menang, Sri Pahang jatuh ke tangga keempat liga berkongsi 28 mata dengan Kedah Darul Aman FC tetapi dibezakan perbezaan jaringan manakala Negeri Sembilan jatuh ke tangga kesembilan dengan 18 mata.