KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, tetap berpuas hati dengan semangat melawan skuad bimbingannya meskipun tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut pengendali berasal Croatia itu, TFC bermain cukup baik sehingga layangan kad kuning kedua terhadap Argzim Redzovic selepas rehat mengubah segala-galanya.

Bagai jatuh ditimpa tangga, Steinbruckner berkata, insiden kad merah kepada Ivan Mamut minit ke-73 juga sukar diterima sekali gus membunuh moral dan motivasi skuad Sang Penyu.

“Saya berbangga corak permainan TFC dengan sekurang-kurangnya dua peluang keemasan daripada Sony Norde dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob pada awal permainan.

“Setelah menerima amaran kad kuning pertama, saya berpesan kepada Redzovic agar berhati-hati dan merancang untuk mengeluarkannya namun terlewat dan dia menerima kad kuning kedua.

“Bagi insiden kedua, amaran kad kuning kepada mereka (Mamut dan Feroz) sudah memadai namun keputusan pengadil agak mengecewakan,” katanya kepada FLASH SUKAN, semalam.

Sony Norde sekadar menyumbat gol saguhati buat TFC.

Dalam pertemuan itu, gol berkelas dunia Fernando Forestieri, Bergson Da Silva dan Endrick Dos Santos memastikan kemenangan 3-1 JDT manakala jaringan Sony Norde sekadar saguhati buat TFC.

Perlawanan turut dicemari layangan kad merah gara-gara terjahan Redzovic ke atas Forestieri minit ke-52 serta insiden membabitkan Mamut yang dilihat menyiku Feroz minit ke-74.

“Pengadil bagaimanapun gagal mengesan dan memberi kad amaran kepada pemain JDT yang beberapa kali mengasari dari belakang ketika TFC melakukan serangan.

“Kami berjaya menyaingi JDT malangnya kelebihan pemain digunakan lawan untuk menguasai baki permainan dan TFC gagal menghalang gol ketiga mereka di penghujung aksi,” tambahnya.