KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari, mengakui sudah menjangkakan aksi sukar dan tegang ketika membenam Terengganu FC (TFC), 3-1, semalam.

Menurutnya, insiden layangan kad merah kepada dua pemain TFC berpunca corak agresif Sang Penyu yang ghairah mahu menjadi yang pertama mengalahkan JDT musim ini.

“Dengan rekod bersih 14 kemenangan, semua pasukan mahu mencuri tiga mata daripada JDT sehingga terbawa-terbawa dan memberi kesan buruk kepada pasukan mereka.

“Cukup jelas kekasaran ke atas Arif Aiman (Hanapi) pada babak pertama manakala insiden kad merah juga berpunca terjahan dari belakang dan sentuhan tanpa bola ke atas pemain JDT.

“Itu adalah risiko dalam aksi genting seperti ini namun karakter ditunjukkan JDT menjadi pemisah termasuk daripada pemain muda kami,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Fernando Forestieri terus meledak gol demi gol di pentas Liga Super musim ini.

Sementara itu Soleri turut menghambur pujian buat penyerang berbisa, Fernando Forestieri, yang memainkan watak penting ketika kemenangan 3-1 di gelanggang lawan itu.

Menurut Solari, selain menjaringkan gol pembukaan berkelas dunia, Forestieri menjadi perancang utama dua lagi jaringan selain turun membantu benteng pertahanan.

“Perlawanan ini lebih sukar kerana TFC bermain lebih baik berbanding pusingan pertama, Februari lalu, dan banyak gerakan kami tidak menjadi pada awal permainan.

ARTIKEL BERKAITAN : 11 ribu penonton terpukau gol Forestieri, Sang Penyu terkulai ditangan Harimau Selatan

“Jaringan menakjubkan Forestieri dari luar kotak penalti menjadi titik permulaan kemenangan JDT dan kami mula menguasai perlawanan selepas daripada itu.

“Apa lagi yang boleh dikatakan tentang Forestieri, dia berada dalam kelas tersendiri dan menjadi watak penting pasukan musim ini,” jelasnya lagi.