JAWATANKUASA Road to Gold (RTG) memberitahu, pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang baharu bermula, sebagai alasan mereka belum memutuskan sama ada menambah atau menggugurkan atlet dari program itu.

Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang akan berlangsung minggu hadapan bakal membincangkannya.

Begitupun, prestasi atlet RTG yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang tetap akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa itu, dalam usaha mencari solusi terbaik buat mereka yang terlibat.

Mesyuarat jawatankuasa RTG akan membincangkan isu penambahan atau pengguguran atlet dalam RTG pada minggu hadapan. – Penyelaras JK RTG Datuk Stuart Ramalingam.

“Sebagaimana yang kita tahu, RTG ada kriteria yang perlu dipenuhi untuk penerimaan dan pengguguran setiap atlet, mereka juga tahu. Prestasi semasa adalah penting bagi membolehkan mereka kekal dalam RTG.

“Bukan saya yang buat keputusan mengenai senarai atlet RTG tetapi kita akan kemukakan prestasi semasa atlet dan jawatankuasa akan buat keputusan untuk gugurkan atau terima atlet baru dalam RTG.

“Semua perkara itu (prestasi atlet) akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu hadapan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat pertikaian berhubung kriteria penyertaan atlet kedalam program RTG yang memerlukan setiap pemain berada di kelompok 10 terbaik dunia.

Muhammad Fadhil Mohd Zonis (kanan) antara atlet berbasikal yang dirayu PKBM untuk disenaraikan dalam RTG.

Malah beberapa keputusan kurang memberangsangkan yang dicatat atlet-atlet RTG, terutamanya beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang sudah lebih sebulan terkeluar dari ranking 10 teratas dunia (kini 17), beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah (kini 12) sedikit sebanyak menimbulkan persoalan.

“Pada masa ini, kita lihat kelayakan baharu bermula untuk semua sukan. Mengenai terkeluar dari ranking 10 teratas, kadang-kadang ia disebabkan kecederaan dan mungkin juga prestasi merosot.

“Semua perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat nanti. Saya bukan orang teknikal, jadi tidak boleh beri banyak komen mengenai perkara tersebut.

“Atlet tahu mengenai perkara ini kerana mereka sudah bersetuju dengan kriteria penerimaan dan pengguguran RTG,” ujarnya lagi.