AZLAN Shah Kamaruzaman dari Pasukan ONEXOX TKKR SAG kekal positif untuk Pusingan 2 Kejuaraan FIM Asia Road Racing di Sepang hujung minggu ini.
Tidak dinafikan, pembukaan musim agak mencabar dengan pelumba bertaraf dunia mencatat masa terpantas.
Azlan bagaimanapun dilihat bergelut selepas berehat selama dua tahun ketika dia bertungkus-lumus mengatur semula rentaknya.
Azlan tewas dalam Perlumbaan 1 selepas tiga pusingan tetapi segera melakukan recovery di Perlumbaan 2, berada di tempat ke-10 walaupun menghadapi masalah mekanikal.
“Kami agak bergelut dalam Pusingan 1 kerana sistem elektronik mesin. Kami sememangnya tidak mempunyai asas yang kukuh untuk bermula dalam perlumbaan dan gagal mencapai penamat terbaik,” ujarnya.
Azlan tidak asing lagi di Litar Antarabangsa Sepang. Pada 2019, dia meraih tempat teratas di podium untuk perlumbaan di litar dan menjangkakan keputusan yang lebih baik.
“Untuk Pusingan 2, kami lebih yakin dengan jentera itu kerana telah memperoleh data yang berkaitan daripada perlumbaan di MSBK pada tahun 2021. Data itu akan membantu dalam kemajuan kami untuk Pusingan 2 dan saya pastinya mengintai tempat di podium di Sepang. Saya rasa kita akan berjaya!” katanya lagi.