SEBALIK kontroversi melanda jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang belum diselesaikan, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tetap menaruh harapan ke atas pelumba itu untuk menyinar di Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023 minggu ini.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Maloaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, ACC menjadi peluang terbaik buat Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahroim, bukan hanya kerana beraksi di gelanggang sendiri malah taraf ACC itu sendiri.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yakin Datuk Azizulhasni Awang dan Mohd Shah Firdaus Sahrom akan mengambil peluang mengumpul mata kelayakan Olimpik Paris di ACC Nilai.

“ACC adalah kejohanan kedua terbesar selepas Kejohanan Dunia di Glasgow tahun ini, dan ia menawarkan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.

“Sudah tentu setiap pelumba yang bertanding di ACC kali ini mahu mengutip mata untuk mendapatkan tempat menjelang saingan 2024,” kata Amarjit, dalam satu kenyataan PKBM yang diedarkan kepada media.

Beliau berkata, di atas kertas, Azizulhasni yang pernah beraksi di Olimpik Beijing (2008), London (2012), dan Brazil (2016), menjadi antara prospek utama yang bakal menyumbang pingat emas di Paris nanti.

Veledrom Nasional di Nilai sekali lagi mengumpul atlet berkelas dunia.

Menurut Amarjit, Azizulhasni dan Shah Firdaus akan menerima saingan sengit daripada pelumba dari Jepun, Korea Selatan dan China, namun: “Saya percaya Azizulhasni dan Shah Firdaus akan memanfaatkan peluang mereka beraksi di hadapan penyokong sendiri dan mengumpul mata kelayakan Olimpik Paris.

“Berbekalkan sokongan daripada penyokong tempata, saya yakin Azizulhasni dan Shah Firdaus mampu merealisasikan sasaran yang ditetapkan jurulatih, John Beasley.”

Acara individu pecut dan keirin akan membuka tirai saingan pada Khamis.