JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja handal di dalam padang dengan mengekalkan rekod 13 perlawanan tanpa kalah dengan hanya satu bolos sepanjang pusingan pertama Liga Super.
Tambah menarik, penyokong JDT juga tidak kurang hebatnya apabila mencatatkan angka tertinggi kehadiran ke stadium berbanding 13 lagi pasukan yang bertanding di 12 venue yang berlainan.
Mengikut rekod, kehadiran penyokong JDT ke Stadium Sultan Ibrahim dalam enam perlawanan adalah seramai 115,418 penyokong dan purata sebanyak 19,236 orang dengan kesemua perlawanan mencatatkan angka kehadiran melebihi 10 ribu penyokong.
Perlawanan menentang Terengganu yang juga perlawanan Piala Sumbangsih mencatat angka tertinggi dengan kehadiran 31,889 orang penyokong manakala aksi bertemu Kelantan United menyaksikan angka terendah dengan jumlah 10,883 penonton.
Aksi bertemu Kelantan yang bermain pada sebelah petang menarik minat 24,404 orang dengan kunjungan Sabah menerima 19,816 penyokong dan perlawanan bertemu Kedah pula disaksikan oleh 13,772 orang manakala aksi menentang Sri Pahang pula disaksikan oleh 14,684 penyokong.
Harimau Selatan bukan sahaja menarik penyokong di Stadium Sultan Ibrahim malah kehadiran mereka di tempat lawan juga menyaksikan kehadiran tertinggi dicatatkan untuk pasukan tuan rumah.
Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dan Stadium MBPJ Kelana Jaya masing-masing mencatatkan angka tertinggi kehadiran penyokong apabila menerima kunjungan JDT.
Ini membuktikan tarikan yang ada pada pasukan JDT meskipun ramai penyokong yang seakan-akan sudah mengetahui keputusan perlawanan namun aksi menarik yang dipamerkan pemain-pemain bintang menarik minat penyokong ke stadium.
Untuk rekod, tempat kedua kehadiran penyokong tertinggi dipegang oleh Stadium Likas apabila tujuh aksi Sabah FC disaksikan oleh 74,287 orang penyokong dengan purata kehadiran sebanyak 10,612 orang dan ini membantu Skuad Badak mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.
Kehadiran tertinggi dicatatkan ketika aksi bertemu Selangor FC dengan 14,444 orang penyokong manakala jumlah terendah adalah 5,566 orang ketika menerima kunjungan Perak FC.
Tempat ketiga menjadi milik penyokong Kedah Darul Aman FC yang terkenal sebagai penyokong fanatik dengan kehadiran penyokong sebanyak 61,035 untuk purata 8,719 orang untuk tujuh aksi Sang Kenari di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
21,700 adalah angka tertinggi kehadiran yang dicatatkan ketika bertemu Terengganu FC manakala angka terendah dicatatkan ketika menentang Kuala Lumpur City FC dengan hanya 2,590 orang yang hadir ke stadium.
Sebanyak 91 perlawanan berlangsung sepanjang pusingan pertama Liga Super dan jumlah paling rendah kehadiran penyokong ke stadium adalah ketika perlawanan antara PDRM FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dengan hanya 153 orang penyokong dicatatkan.