TIADA yang sanggup menawarkan diri sebagai calon, menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim secara tidak rasminya, mempertahankan kerusi selaku Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MAS) bagi penggal 2023/2025.
Ini bermakna Shahidan dari Perlis yang mula menduduki kerusi nombor satu badan induk berkenaan sejak 1996 menjadi calon tunggal bagi jawatan berkenaan selepas pencalonan ditutup pada 9 Jun lalu.
Pemilihan kepimpinan baharu MAS bagi penggal 2023/2025 bagaimanapun hanya akan diadakan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada Sabtu ini.
Sementara itu, perebutan jawatan timbalan presiden akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru, membabitkan penyandang dari Perak, Oon Kee Seng, Ng Yau Loong (Johor) dan Anthony Kong (Sarawak).
Bagi jawatan naib presiden, persaingan membabitkan ketua jurulatih Selangor, Marilyn Chua yang menentang Datuk Nawawi Reduan dari Melaka.
Tumpuan pemilihan pastinya terarah kepada jawatan Setiausaha Agung MAS yang menyaksikan penyandangnya sejak 2015, Mae Chen dari Kuala Lumpur akan bersaing dengan calon dari Negeri Sembilan, Andy Low.
Legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah dari Selangor akan menentang Tan Chin Chin (Kuala Lumpur) bagi perebutan jawatan timbalan setiausaha agung. Penyandang jawatan itu, May Tan memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
Bagi jawatan bendahari, penyandang dari Kuala Lumpur, Nancy Yap akan bersaing dengan Yan Kong Lee (Terengganu) manakala Tasha Jane (Penang), Goh Kah Yi (Negri Sembilan), Dr Chee Pao Kam (Kedah), Haris Lua Abdullah (Johor), Azwan Abd Halim (Sabah) and Sung Jun Hao (Melaka) akan bersaing merebut lima kerusi Exco.