KETUA pasukan skuad Bawah 17 Tahun kebangsaan Muhammad Afiq Danish Hasniruddin yakin pasukan ini mampu memberikan saingan di Kejohanan Piala Asia AFC B-17 di Bangkok, Thailand yang bakal bermula pada Rabu.
Meskipun tewas dalam dua perlawanan persahabatan kepada Uzbekistan dan Arab Saudi sebelum ke Thailand, Afiq Danish atau mesra disapa Tote dikalangan rakan sepasukan menganggap kekalahan itu adalah satu pengajaran untuk beraksi lebih baik pada kejohanan Piala Asia.
Keputusan dari dua perlawanan sebelum ini tidak bagus tetapi kami perlu melupakannya dan fokus kepada misi kami iaitu di Piala Asia. Kami berbincang sesama kami dan hanya mengambil yang positif dari kedua-dua perlawanan itu dan percaya kami sudah bersedia untuk Piala Asia ini,” katanya.
Ditanya FLASH SUKAN apakah perkara positif yang dapat diambil dan dipelajari dari dua perlawanan itu, Tote berkata ianya menyedarkan mereka bahawa mereka belum cukup bagus dan perlu berlatih dengan lebih gigih.
“Banyak perkara positif yang dapat kami pelajari. Sebelum ini kami ingat kami sudah bagus tetapi kini kami sedar ada banyak lagi ruang untuk kami perbaiki. Kami akan mempunyai dua sesi latihan di Bangkok untuk menambahbaik prestasi pasukan.
“Kami juga perlu lebih bertenang apabila bertahan, hantaran juga tidak tepat selain tidak cukup tajam menyempurnakan peluang. Jika kami berjaya atasi perkara ini, kami akan berada pada tahap yang terbaik,” jelas pelatih Akademi Mokhtar Dahari itu.
Malaysia dalam misi merebut empat tempat terbaik yang menjanjikan tiket ke Piala Dunia Fifa B-17 pada November 2023 namun perlu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahalu yang dihuni Yemen, Laos dan tuan rumah, Thailand.
Afiq Danish yang pertama kali menyarung lilitan lengan kapten berkata dia turut menyesuaikan diri dengan peranan baharu ini kerana dia tidak pernah dilantik sebagai ketua pasukan sebelum ini.
“Ini adalah kali pertama saya menjadi kapten, sudah pasti saya gugup tetapi saya perlu menyesuaikan diri dengan peranan ini dan yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan saya,” tambahnya.
Anak-anak buah Osmera Omaro bakal memulakan saingan bertemu Yemen untuk perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Thammasat, Bangkok pada Khamis dengan tiga mata penuh menjadi sasaran.