JANGAN beratkan kepala dengan perkara tidak membantu meningkatkan prestasi.
Bekas pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta, Datuk Rashid Sidek mahu Lee Zii Jia meredakan tekanan dengan tidak memikirkan perkara tidak perlu, termasuk sasaran memburu pingat emas pertama negara di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“Lupakan dulu soal Olimpik.. soal medal kerana kadang-kadang memikirkan perkara yang terlalu jauh seperti mahukan pingat emas Olimpik ni, memberikan tekanan kepada diri sendiri.
“Sudahnya perform juga tidak, jadi macam mana nak dapatkan pingat emas. Sekarang ini, dia (Zii Jia) perlu perform dahulu, macam mana nak target… step by step jangan jauh sangat nak fikir sasaran masa akan datang,” kata Rashid, ketika diminta mengulas mengenai pendirian yang disuarkan Lee Zii Jia selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia, Rabu.
Sepanjang tahun ini, Zii Jia melangkah ke separuh akhir di dua kejohanan di Seluruh England dan Terbuka Switzerland, manakala tersingkir di pusingan pertama dan kedua, pada tujuh kejohanan yang disertai.
“Mungkin dia mahu berlatih dahulu, sementara menunggu Wong Tat Meng datang, fokus kepada latihan selama satu atau dua bulan, lepas itu bersiap sedia menghadapi kejohanan seterusnya.
“Prestasi memang ada naik turunnya dan setiap pemain perlu mempunyai motivasi yang tinggi dan jika setiap kali tewas di pusingan pertama, semangat, motivasinya akan merundum dan semangat akan jatuh,” kata Rashid.
Begitupun, beliau berkata, jika Zii Jia benar-benar mahu berehat seketika, dia perlu mempunyai rancangan yang baik dan memilih kejohanan yang tepat serta mencapai sasaran kerana tempoh kelayakan ke sukan olimpik sudah bermula.
“Sebagai pemain, jika kita sering kalah awal, menyertai mana-mana kejohanan sekalipun, kita akan berasa takut dan gementar meskipun berdepan pemain di ranking jauh di bawah.
“Tetapi Zii Jia perlu fikirkan sebaik mungkin kerana jika dia berehat dan tidak menyertai kejohanan untuk tempoh tertentu, kedudukan rankingnya jgua akan semakin jatuh.”