PASUKAN Bawah-17 Kebangsaan memulakan kempen Piala Asia AFC B-17 2023 dengan langkah kiri apabila diberikan pengajaran berguna oleh Yemen dalam aksi Kumpulan A di Stadium Thammasat, Thailand pada Khamis.

Masalah konsentrasi di kalangan pertahanan dilihat antara punca utama kekalahan 0-4 skuad kebangsaan kepada Yemen yang mengambil kesempatan kelekaan barisan negara untuk mencatat kemenangan sekaligus tiga mata pertama.

Meskipun tewas,  anak-anak buah Osmera Omaro tetap mempamerkan aksi yang baik dengan beberapa percubaan menarik namun digagalkan pembuatan keputusan yang kurang matang dari para pemain.

 

Yemen berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-21 apabila Abdul Rahman Al-Khader bijak mengatasi perangkap ofsaid untuk merembat masuk menewaskan penjaga gol negara, Farish Farhan.

Berselang 10 minit, Adel Abbas Qasem menghukum kelekaan barisan pertahanan sekali lagi apabila menyempurnakan gol kedua Yemen hasil serangan balas menarik yang dilakukan barisan pemain Mohammed Hasan Ali Albaadan.

Ketika Malaysia cuba bangkit pada babak kedua, kesilapan pertahanan, Faris Danish yang tertampan bola dalam petak penalti memberikan sepakan penalti kepada Yemen yang mudah disempurnakan oleh Anwar Hussein pada minit ke-47.

Malaysia lebih banyak menguasai permainan selepas itu dengan beberapa pertukaran dilakukan dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun tidak dapat menemui belakang gawang Yemen.

Ketika permainan hampir tamat, Yemen menambah satu lagi gol apabila Adib Ibrahim tertolak bola rembatan Ali Nabil ke gawang sendiri pada minit ke-88 untuk melengkapkan kemenangan bergaya Yemen keatas Malaysia.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran besar untuk mencari kemenangan apabila bertemu Thailand dan Laos selepas ini bagi menghidupkan semula peluang layak ke peringkat seterusnya.