PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin masih meyakini peluang pasukan kebangsaan B-17 bangkit dalam aksi seterusnya perlawanan Kumpulan A Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand.

Pada pertembungan pertama, Malaysia pimpinan Osmera Omaro tumbang 4-0 di tangan Yemen dan sedikit menjejaskan rentak mara ke halangan suku akhir.

“Saya tak sangka kita akan kalah perlawanan pertama. Pasukan ini kita buat persiapan awal iaitu selama dua tahun termasuk kita menghantar mereka ke Qatar untuk berlatih dan juga mengadakan perlawanan persahabatan.

“Saya ada menonton sehingga ke minit 90. Tapi itu yang terjadi, namun saya berharap mereka akan bangkit menentang Thailand nanti,” katanya selepas majlis Town Hall bersama Presiden FAM di Kuala Nerus, Terengganu pada Khamis malam.

Jika dilihat daripada segi kualiti, pemain Malaysia memiliki ramai pemain dengan keupayaan teknikal individu yang baik seperti pemain sayap, Muhammad Arami Wafiy, Adib Ibrahim, Muhammad Anjasmirza dan ramai lagi.

Malah, sekiranya pemain-pemain ini dapat mengekalkan dan meningkatkan prestasi, pasti ia akan mengubah corak permainan Malaysia aksi bertemu Thailand dan Laos selepas ini bagi menghidupkan semula peluang layak ke peringkat seterusnya.