PEMAIN sayap lincah Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi mengakui belum berpuas hati lagi pencapaian sekarang walaupun dilihat menghadirkan impak setiap kali diturunkan.

Arif berjaya menyumbat gol sulung di pentas antarabangsa ketika membantu skuad kebangsaan mengalahkan Kepulauan Solomon aksi persahabatan Tier 1 di Kuala Nerus pada Rabu.

“Tak kisah siapa jaringkan gol…yang penting permainan kami sentiasa membaiki segala kelemahan. Kami kini sedang menyiapkan tugasan untuk permainan berikutnya.

“Saya perlu bekerja keras lagi setiap perlawanan sebab persediaan kita adalah amat penting untuk Piala Asia 2024,” kata bintang Johor Darul Ta’zim itu.

Permainan Arif Aiman semakin matang dan penuh bertenaga memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Semestinya kejayaan bermakna diraih pasukan bimbingan Kim Pan-gon bakal menambahkan lagi keyakinan kepada Arif untuk terus menggegar jaring di masa depan.

Kehadirannya bersama gandingan Faisal Halim turut memberikan impak yang cukup besar di bahagian sayap kanan dan kiri pasukan kebangsaan.

“Saya amat bangga dapat skor juga untuk pasukan kebangsaan. Apa yang penting persediaan adalah kunci kejayaan,” tambahnya lagi.

Malaysia yang berada di ranking 138 dunia akan melengkapkan sesi persahabatan Tier 1 bulan ini dengan bertemu Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa.