PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyokong pemberian kemasukan percuma Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menonton perlawanan bola sepak di kesemua stadium di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hadirin mengenai kemasukan percuma OKU yang mempunyai kad OKU di sesi Town Hall bersama Presiden FAM di Terengganu bersempena Karnival Harimau Malaya yang diadakan bagi meraikan aksi pasukan Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya sokong OKU masuk ‘free’. Saya rasa tidak ada masalah bagi pihak MFL untuk mendapatkan kelulusan ini,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh para penyokong yang hadir di sesi Town Hall itu.

Sesi Town Hall bersama Hamidin pada Khamis malam.

Sementara itu, Presiden Malaysia Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan pula berkata beliau akan membawa perkara ini ke semua kelab bagi memastikan setiap OKU yang mempunyai kad OKU diberikan kuota kemasukan secara percuma selain juga mahu setiap kelab menjadikan stadium mereka lebih mesra kepada golongan ini.

“Saya akan meminta sekretariat MFL untuk memaklumkan kepada kelab, namun perlu ada kuota untuk masuk ke stadium dengan menunjukkan kad OKU. MFL akan membantu kemasukan OKU tetapi perlu ada kuota dan SOPnya.

“Kita diperingkat MFL juga tidak mempunyai masalah untuk meminta kelab-kelab menyediakan tempat duduk khas buat OKU seperti di negara-negara luar sebagai tanggungjawab sosial korporat kelab (CSR) kepada golongan ini,” katanya dalam sesi yang sama.

Ab Ghani bersama Hamidin (kiri)

Golongan Orang Kelainan Upaya ini perlu diberikan kelebihan apabila masuk ke stadium dengan kini lebih banyak stadium-stadium seluruh negara menyediakan kemudahan asas untuk mereka seperti ‘ramp’, tandas istimewa dan kawasan khas untuk suasana tontonan yang lebih selamat dan selesa.

Kerjasama antara FAM dan MFL ini seharusnya diberikan pujian kerana cakna dengan kehendak golongan ini yang mempunyai minat dan semangat yang mendalam untuk menyokong senario bola sepak tempatan dengan hadir ke stadium.