BEKAS pemain bola sepak negara, Mohd Khalid Mohd Ali menghargai keprihatinan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membantunya berhadapan dengan situasi sukar apabila disahkan menghidap barah paru-paru tahap 4 pada April lalu.

Khalid juga tidak menjangkakan kehadiran Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd Halim yang meluangkan masa menziarahinya sendiri sekaligus menyerahkan sumbangan RM17,000 dikediamannya pada petang Khamis.

 

Khalid Ali 

“Saya sangat berterima kasih kepada Yakeb dari hari pertama sehingga ke hari ini telah membantu rawatan saya, membuat temujanji dengan doktor dan follow up mengenai apa-apa yang saya perlukan.

“Saya berterima kasih kepada YB Adam Adli yang datang melawat saya kerana ini adalah satu kebangsaan bagi saya setelah apa saya lakukan pada negara dan dapat penghargaan daripada YB serta KBS,” kata Khalid Ali dalam sesi penyerahan bantuan di rumahnya pada Khamis.

Khalid menekankan, bantuan yang diterima atas usaha Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sedikit sebanyak telah membantunya dalam melakukan proses rawatan kanser sepertimana umum mengetahui ianya memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.

Datuk Noorul, Adam, Datuk Maleek melawat Khalid di kediamannya.

Mengulas lanjut mengenai kesihatannya pada ketika ini, Khalid menyatakan ianya bertambah baik dan hanya memerlukan sedikit kimoterapi yang lebih kuat dalam merawat sel kanser dalam tubuh badannya.

Dalam pada itu, Khalid yang merupakan bekas pemain tengah skuad kebangsaan era 80-an juga mengharapkan doa dan sokongan dari orang ramai agar  sembuh daripada penyakit yang dihidapinya.