BEKAS pelumba trek kebangsaan, Rizal Tisin mahu mencatatkan kerjaya cemerlang sebagai jurulatih dengan menyasarkan pingat emas pertama Sukan Sea buat skuad trek berbasikal Indonesia pada temasya Thailand, 2025.
Berpindah dari melatih pasukan kebangsaan Singapura ke Indonesia, dia kini mempunyai misi khas, melahirkan pelumba trek berbisa Indonesia.
Menggalas jawatan ketua jurulatih trek kebangsaan Indonesia selama tiga tahun bermula April lalu, kehadiran Rizal, di negara jiran yang cukup dikenali sebagai kuasa besar basikal BMX dan lebuhraya di Asia Tenggara itu, harus dipandang serius oleh skuad negara.
Rizazl mencipta sejarah pada 2009, apabila memenangi pingat gangsa 1 kilometer (km) ujian masa di Kejohanan Dunia berlangsung di Poland.
Kejayaan itu menjadikan dia sebagai pelumba basikal trek pertama negara melakukannya, hanya sehari sebelum Datuk Azizulhasni Awang menang pingat perak, dalam acara pecut di kejohanan sama.
“Saya berhijrah sebagai jurulatih di luar negara juga atas nasihat ketua jurulatih trek Malaysia, John Beasley, supaya saya dan juga Josiah (Ng) menyumbang kepada pembangunan berbasikal trek di rantau ini.
“Sebelum ini saya melatih Singapura, tapi kurang kejohanan.. ditambah pandemik Covid-19 melanda, ramai pelumba bersara dan fokus untuk melanjutkan pelajaran dan kerjaya,” kata Rizal, ditemui di Veledrom Nasional, Nilai, ketika memimpin pasukan Indonesia di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023.
Jurulatih berasal dari Klang itu, sebelum ini berkhidmat di Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berhijrah ke Singapura.
“Rancangan saya adalah melahirkan pelumba trek Indonesia untuk ke Sukan SEA Thailand… ketika ini ada tiga pelumba endurance, tapi belum ada pecut, malah agak sukar untuk menukar pelumba endurance kepada acara pecut.
“Pada temasya dwi tahunan di Thailand, kita mahu mencabar Malaysia untuk memenangi pingat dalam acara individu trek.”
Rizal mendedahkan, enam pelumba trek Indonesia berada di landasan untuk layak ke Olimpik Paris 2024 dalam acara endurance, ketika ini.