SUSULAN kecederaan dialami dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) semasa mewakili pasukan kebangsaan di Terengganu, jurulatih Harimau Malaya tampil memohon maaf kepada pemilik kelab berkenaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Permohonan maaf itu disampaikan Kim Pan-gon semasa sidang media sebelum sesi latihan hari ketujuh skuad bola sepak Malaysia di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada Jumaat.
“Natxo Insa dan Feroz Baharudin tidak dapat bermain dalam perlawanan berikutnya.
“Kami memantaunya dengan penuh berhati-hati, kami melepaskan kedua-dua pemain itu. Kami melindungi pemain dan membuat keputusan untuk tidak menempatkan Natxo dalam dua perlawanan ini. Feroz pula alami ketegangan.
“Jadi saya merasa menyesal untuk kelab JDT terutama TMJ, baginda mendukung kami sepenuhnya, mempercayai dan selalu mendorong supaya kami dapat membentuk pasukan yang kuat.
“Kecederaan ini buatkan saya merasa sangat sedih kepada JDT tapi tetap fikir sebagai seorang profesional seperti biasa kami selalu peduli dengan mengambil berat dan berdoa untuk melindungi pemain,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Tambah lelaki warga Korea Selatan itu, kehadiran pemain warisan Nooa Laine yang tiba sejak Selasa malam akan berada dalam senarai bersedia untuk dipanggil.
“Saya fikir kita dapat tutup posisi ditinggalkan kerana masih ada pilihan pemain lain. Mungkin beberapa hari ke depan kita akan memutuskannya kerana pegawai perubatan sedang melakukan penilaian tahap kecergasan beberapa pemain.
“Dan untuk satu lagi posisi lain di bahagian tengah, kita dah ada pengganti dan tiada masalah untuk pasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pan-gon mahu segala kesilapan individu pada perlawanan lepas semasa menewaskan Kepulauan Solomon tidak berulang ketika menentang Papua New Guinea, Selasa ini.
Katanya lagi, jika pemain negara mahu bermain kelas bertempo tinggi dan berkualiti, masalah kecil seperti ini perlu dikurangkan dan kembali meningkatkan prestasi.
“Untuk taktikal pasukan saya berpuas hati, kami miliki kepercayaan penuh dan mendominasi. Saya ingin mengubah bola sepak Malaysia menjadi permainan yang benar-benar mendominasi dan memberikan kebanggaan buat penonton,” katanya akui terpesona dengan keindahan semula jadi yang terdapat di bumi Terengganu.