PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MAS) mahu mengembalikan maruah sukan renang negara, namun memerlukan kerjasama daripada daripada majikan sektor swasta.
Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, peranan majikan sektor swasta amat penting dalam memastikan kesinambungan latihan atlet bernaung di bawah badan induk sukan itu, terutamanya ketika sudah berada di alam pekerjaan.
Katanya, latihan setiap hari amat penting buat perenang kebangsaan bagi mengekalkan tahap kecergasan, menjadikan perenang itu kekal kompetitif sekali gus mengelak dariapda perenang negara bersara awal dari sukan terbabit.
“Kami harap kerajaan melakukan perbincangan dengan sektor swasta untuk memberi kelonggaran kepada perenang negara menjalani latihan di sebelah petang.
“Situasi ketika ini, apabila atlet kita berkerja, mereka tidak berpeluang menjalani latihan hinggakan mereka bersara begitu sahaja.
“Inilah yang selalu berlaku… kami akan kehilangan perenang sebaik mereka berusia 25 tahun. Perkara ini boleh diatasi jika ada polisi yang membenarkan mereka berlatih di sebelah petang dan hal ini sudah dilakukan negara luar,” katanya.
Mengulas mengenai hasrat mengembalikan maruah sukan renang negara ke tahap gemilang di pentas Asia Tenggara, sebagaimana yang pernah dicapai sebelum ini, Shahidan bagaimanapun enggan meletakkan garis masa yang spesifik.
“Kita akan rancang untuk setiap edisi Sukan SEA. Saya tidak mahu bercakap apa-apa buat masa ini kerana apabila saya cakap ketika ini, ia boleh digunakan untuk menyerang saya semula.
“Saya tidak mahu apa yang berlaku di olahraga sebelum ini berulang. Waktu itu saya cuma cakap harapan saya (untuk olahraga) dan itu perkara itu yang ditumpukan berbanding apa yang dibincangkan,” katanya.