SUKAN Asia bukan lagi tempat memberi pendedahan atlet dan hanya atlet mempunyai potensi menyumbang pingat akan dihantar mengambil bahagian.
Pendirian tegas Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dibuat berlandaskan tahap kompetitif tinggi di temasya empat setahun sekali, yang tidak sesuai dijadikan sebagai medan pendedahan.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Temasya Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, meletakkan kriteria ketat, dan tidak mahu pencapaian hambar di Jakarta-Palembang 2018, berulang.
“Kalau bagi kebenaran mudah bertanding di peringkat tertinggi seperti di Sukan Asia, idaman kita melihat lebih ramai atlet bertannding di Sukan Olimpik tidak akan tercapai, kita sering berlandaskan kepada badminton, berbasikal dan terjun, jika kita nak kembangkan lagi (penyertaan), kita perlu cemerlang di Sukan Asia,” kata Norza, selepas mempengerusikan mesyiarat jawatankuasa pemilihan atlet ke Temasya Sukan Asia 2022, di Pejabat MOM.
Jawatankuasa terbabit menetapkan dua kriteria kelayakan atlet ke Sukan Asia menerusi kategori A dan B.
Kategori A akan ditanggung sepenuhnya MOM namun hanya membabitkan atlet yang memperoleh keputusan empat terbaik di kejohanan peringkat Asia.
Manakala, kategori B pula akan ditanggung sepenuhnnya persatuan sukan berkaitan namun, atlet atau pasukan yang layak beraksi ke temasya itu perlu mempunyai pencapaian enam terbaik dalam kejohanan sebenua.
Beliau berkata, nisbah atlet yang mewakili negara di temasya itu, berbanding pungutan pingat emas yang diperoleh, tidak menunjukkan peningkatan kualiti sebaliknya jurang semakin besar dan pencapaian terburuk pada temasya 2018 di Jakarta-Palembang.
“Pada Sukan Asia lalu, kita menghantar lebih 400 (417) atlet dan hanya memperoleh 7 emas sahaja iaitu, kira-kira 59.6 atlet untuk satu emas.
“Kita telah nampak penurunan ini sejak 2006 (Doha, Qatar) lagi, hantar 244 atlet dapat 8 emas, iaitu kira-kria 30.5 atlet untuk satu emas.
“Pada 2010, seramai 333 atlet memperoleh 9 emas (37); 2014 di Incheon, Korea Selatan menghantar 277 atlet dan memperoleh 5 emas (55.4),” kata Norza.
Beliau berkata, semua pasukan sukan kebangsaan (NSA) sudah dimaklumkan mengenai syarat ketat itu sejak Mei lalu.
Menurutnya, pada temasya Sukan Komanwel lalu, negara hanya menghantar bilangan atlet yang rendah namun memenangi tujuh pingat emas.
Menurut Norza, pada mesyuarat jawatankuasa itu, seramai 115 atlet disenarai layak ke Sukan Asia 2022 bagi kategori A manakala 98 dalam kategori B.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyokong penuh saringan ketat ditetapkan MOM dalam menghantar atlet bertanding di temasya itu.
“Kita beri sokongan penuh khususnya syarat yang lebih ketat… yang penting Sukan Asia bukan pendedahan tapi mendan pertempuran untuk atlet menunjukkan prestasi yang tinggi.
“Siapa yang layak dalam kategori A sepatutnya membuktikan segala kemudahan yang kita berikan kepada mereka selama ini, selayaknya diterima… jangan ambil mudah,” kata Shapawi.