PROGRAM Road To Gold (RTG) bolehlah dianggap sebagai ‘top up service’ kepada para atlet yang berpotensi meraih pingat emas Olimpik selain boleh menambahkan bilangan atlet di dalam kontinjen ketika Sukan Olimpik Paris tahun hadapan.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang turut berharap ‘top up service’ ini mampu menjadi cetusan inspirasi buat semua atlet yang terlibat dalam program ini.

Ini selepas beberapa pihak dilihat mempertikai keputusan mesyuarat jawatankuasa program RTG yang menambah senarai atlet dalam program itu yang seakan-akan sudah terkeluar dari sasaran awal program itu diwujudkan.

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

“Asal kewujudan RTG adalah memberi ruang kepada Olimpian sedia ada untuk berada dalam program ini sebagai ‘top up service’ buat mereka agar boleh mendapatkan pingat emas tersebut selain kontinjen Malaysia juga akan melebihi purata seperti sebelum ini yang akan beri beberapa kelebihan kepada kontinjen negara.

“Mengapa hoki kita masukkan. Mereka di ranking ke-10 dunia dan pingat emas di Sukan Asia menjanjikan tiket ke Sukan Olimpik. ‘Top up service’ ini diharap jadi cetusan inspirasi untuk menang emas di Sukan Asia kerana ianya adalah laluan paling mudah ke Sukan Olimpik dan sebab itu kita letakkan mereka dalam program ini.

“Kelayakan badminton pula kalau kita hantar dua pemain badminton di peringkat perseorangan, ‘top 16’ pasti boleh hantar dan siapa yang paling layak adalah Ng Tze Yong. Dia perlu diberikan ‘top up’ untuk dipertingkatkan menjadi ‘medal potential’ dan mungkin pingat emas. Begitu juga dengan Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei yang dilihat banyak perubahan meskipun baharu digandingkan dan kualiti mereka ini yang melayakkan mereka.

“Sekali lagi saya nak cakap, jangan perkecilkan kebolehan atlet kita kerana mereka adalah ‘frontliner’ kita dan kita perlu hentikan polemik dan terus berikan sokongan pada semua kerana semua rakyat mahukan pingat emas itu,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Olimpik 2023 MOM-KPM di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Norza turut berharap sambutan Hari Olimpik yang jatuh pada 23 Jun setiap tahun itu diraikan dan semangat untuk mewakili negara dapat diterapkan sejak di bangku sekolah menerusi sambutan ini.

“23 Jun adalah Hari Olimpik dan ianya adalah kemuncak sambutan gerakan Olimpik di seluruh dunia dan mahu setiap rakyat tahu Hari Olimpik ini adalah sangat signifikan dan dapat diterapkan pada anak-anak yang masih di bangku sekolah lagi supaya dapat menyemat semangat untuk mewakili negara sebagai Olimpian.”