HAJAT Perak FC untuk meraih keputusan positif di laman sendiri tidak menjadi kenyataan apabila mengalami kekalahan kelima berturut-turut kali ini kepada PDRM FC 1-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.

PDRM FC yang mengalami sedikit pergolakan dalam pasukan apabila kehilangan pengendali dan ketua pasukan dilihat tidak terkesan dengan isu itu sebaliknya mempamerkan aksi penuh disiplin seperti mana yang biasa dilakukan skuad Sang Saka Biru itu.

Dua gol pada babak kedua menerusi Uche Agba dan Nabil Latpi sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat skuad kendalian Eddy Gapil yang juga adalah kemenangan keempat berturut-turut buat PDRM FC.

 

Anak-anak buah Yusri Che Lah mempamerkan aksi yang baik namun kematangan pemain dalam menyempurnakan peluang masih menjadi duri dalam daging pasukan ini yang masih belum mampu menggegar jaring dalam empat perlawanan terakhir.

Kedua-dua gol PDRM FC hadir menerusi ‘set pieces’ yang sememangnya menjadi senjata sulit untuk menghasilkan jaringan manakala pula Perak mendapat gol saguhati menerusi jaringan sendiri James Okuwosa.

Perak cuba mencari gol penyamaan dengan melancarkan beberapa serangan namun masih gagal menembusi benteng PDRM FC yang kebal bertahan umpama sekatan jalan raya hingga menghampakan barisan depan Perak.

 

Kemenangan ini menyaksikan PDRM FC naik ketangga ketujuh liga mengatasi Terengganu buat sementara waktu dengan 22 mata hasil tujuh kemenangan dan satu keputusan seri manakala Perak pula kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri selepas berakhir 15 perlawanan.