MESKIPUN diundi satu kumpulan dengan juara bertahan, sasaran ke separuh akhir saingan Hoki FIH Piala Piala Dunia Remaja Malaysia 2023, tetap perlu direalisasikan.

Ketua jurulatih hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhammad Amin Rahim berkata, pihaknya sudah merancang perlawanan persahabatan antarabangsa di Eropah, sebagai persediaan skuad Young Tigers mengharumkan nama negara di bumi sendiri.

Berdasarkan undian Piala Dunia Remaja Malaysia 2023 5 hingga 16 Disember depan, Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina, Australia dan Chile.

Logo Hoki FIH Piala Piala Dunia Remaja Malaysia 2023.

“MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) meletakkan sasaran untuk berada di separuh akhir. Kalau dilihat agak sengit juga dalam kumpulan… ada Australia, Argentina dan Chile tetapi itu cabaran yang perlu dilalui dan kami perlu sahut cabaran MHC dan turun dengan sehabis baik.

“Kalau dilihat, Australia dan Argentina… seperti Argentina mereka juara edisi sebelum ini (Bhubaneswar, India 2021), mereka juara. Apapun, kita perlu usahakan (mencapai sasaran),” kata Amin kepada media selepas majlis pelancaran Logo Rasmi Hoki FIH Piala Piala Dunia Remaja Malaysia 2023, pada Sabtu.

Berbaki kira-kira enam bulan dari sekarang, Amin berkata, pihaknya sedang menunggu lampu hijau untuk mengadakan siri jelajah Eropah ke Belanda, Jerman dan Belgium yang dijangka bermula Ogos ini.

Beliau berkata, buat masa ini, Jerman sudah membalas pelawaan dan bersetuju untuk mengadakan perlawanan persahabatan namun pihaknya masih menunggu jawapan daripada Belanda dan Belgium.

Skuad hoki lelaki remaja negara bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Selain itu, pasukan bimbingannya juga bakal mengharungi kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC), pada Oktober, sebagai sebahagian daripada persiapan ke Piala Duniaa Remaja.

“Selepas berakhirnya Sukan Sea dan Piala Remaja Asia, kita mengenalpasti kelemahan yang perlu diperbaiki. Dari segi elemen fizikal pula, ia adalah salah satu elemen sangat penting yang kena diperbaiki dan diperkuatkan menjelang Piala Dunia.

“Ini kerana, hoki sekarang lebih kepada kelajuan dan kekuatan. Jadi dalam tempoh dua bulan ini, kita akan berikan tumpuan kepada fizikal dan pada Ogos, mempunyai perancangan untuk jelajah Eropah dan pada Oktober akan persiapkan pasukan untuk Piala Sultan Johor.

Pada penyertaan dua tahun lalu di Bhubaneswar, India, skuad negara menamatkan kempen piala dunia di tangga kelapan daripada 16 negara yang mengambil bahagian.

Untuk rekod, pencapaian terbaik negara di pentas remaja dunia, berada di tangga keempat keseluruhan iaitu pada 2013 di New Delhi (India), 1982 (Kuala Lumpur) dan 1979 (Versailles, Perancis).