KAPTEN Terengganu FC (TFC), Habib Haroon, mahu melupakan aksi tidak konsisten dalam Liga Super dengan membawa pasukan itu ke pentas final Piala FA.
Menurut pemain kelahiran Bahrain itu, aksi separuh akhir bertemu KL City FC, malam ini, harus dijadikan peluang mengubat kekecewaan persembahan ibarat ‘yo-yo’ dalam liga.
“Tidak dinafikan kami agak bergelut menghuni kedudukan kelapan liga dengan enam kemenangan, dua seri dan enam kekalahan daripada 14 perlawanan setakat ini.
“Namun pertemuan Piala FA sentiasa ditunggu-tunggu pemain TFC kerana ianya peluang utama mengambil hati peminat yang turut berkongsi perasaan mahu meraih kejuaraan.
“Setiap kali beraksi dalam saingan kalah mati, mentaliti pemain berubah semakin bersemangat dan kini hanya 90 minit memisahkan TFC dengan perlawanan akhir,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Malah tonggak tengah berusia 23 tahun itu turut meletakkan misi peribadi mahu menjadi penjaring gol dengan menggandakan latihan penyudah bersama barisan penyerang TFC.
Malah sebagai antara muka yang beraksi di pentas akhir dan bergelar naib juara di bawah bimbingan Nafuzi Zain, tahun lalu, Habib menyifatkan TFC berupaya mengulangi pencapaian tersebut.
Menurutnya, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kali ini lebih bersedia meskipun dibarisi ramai muka baharu termasuk tonggak import kali pertama beraksi di Liga Malaysia.
“Bagaimanapun sudah tentu skuad KL City FC juga mahukan kemenangan dan tidak akan memberikan laluan mudah sekali gus menjanjikan tugas getir buat kami di laman sendiri.
“Kami perlu berwaspada dengan ancaman situasi bola mati pasukan lawan selain tidak mensia-siakan peluang terhidang jika mahu merealisasikan impian ke final,” tambahnya.