PASANGAN beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul kejuaraan Jelajah Dunia kedua mereka selepas muncul juara di Terbuka Taiwan pada Ahad.

Gandingan No. 19 dunia itu bermain cemerlang untuk menewaskan pemain tuan rumah Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min 21-12, 21-8 dalam perlawanan akhir di Arena Tian-mu.

 

“Kita mesti berterima kasih kepada Presiden BAM (Persatuan Badminton Malaysia) Tan Sri Norza Zakaria dan BAM kerana mendesak agar kita dimasukkan ke dalam program RTG. Ia sememangnya motivasi yang besar untuk kami,” kata Ee Wei.

Pada perlawanan akhir tadi, mereka hanya mengambil masa 30 minit untuk menang.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei merangkul Cabaran Antarabangsa Iran pada Januari dan Orleans Masters pada April.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga memastikan kem Malaysia terus ceria di Taiwan.

Wei Chong-Kai Wun melakar kemenangan rubber set 20-22, 21-17, 21-14 mengatasi pasangan tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han.