HARIMAU Malaya bakal bertemu dengan penyerang Liverpool, Mohamed Salah?
Itulah desas-desus yang menjadi bualan di naratif media sosial peminat-peminat setia pasukan kebangsaan.
September depan, pasukan kendalian Kim Pan-gon telah pun disahkan bakal bertemu China dalam aksi perlawanan persahabatan berstatus Tier 1.
Terbaharu, skuad Harimau Malaya yang baru-baru ini membelasah Papua New Guinea 10-0 di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak pada 20 Jun lalu, dikatakan bakal menentang Mesir sebagai medan Pan-gon untuk terus memberikan pendedahan tertinggi anak-anak buahnya sebelum turun ke pentas Piala Asia 2024 di Qatar nanti.
FLASH SUKAN telah menghubungi sumber daripada persatuan bola sepak Mesir dan mereka mengesahkan berlaku perbincangan kedua-dua pihak dan ia telah berada di proses yang terakhir bagi mengadakan perlawanan persahabatan itu yang bakal berlangsung di Mesir.
“Kami berminat untuk mengadakan perlawanan itu sebagaimana perkembangan bola sepak Malaysia amat positif. Pasukan Malaysia memiliki lonjakan yang menarik dan sudah pasti ia menjadi satu perlawanan yang menarik untuk disaksikan,” kata wakil dari Mesir itu yang enggan didedahkan nama.
Jika berjaya, pertembungan Malaysia dan Mesir bakal menjadi satu perlawanan cukup menarik sebagaimana Mesir diketuai penyerang terbaik dunia, Salah dan sudah pasti Harimau Malaya mahu memanfaatkan peluang itu.
Selain Mesir, Harimau Malaya juga turut dikaitkan bertemu Taiwan, Kuwait dan Iraq tetapi pasukan kebangsaan difahamkan hanya dapat bermain dua perlawanan sahaja.
Sejurus dua perlawanan persahabatan itu, Harimau Malaya akan turun beraksi selaku tuan rumah Pesta Bola Merdeka yang bakal disertai India, Palestin dan Lubnan pada Oktober depan.