PENYERANG kebangsaan, Safawi Rasid masih tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan beliau ketika membantu Harimau Malaya membenam Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dia menganggap malam ini bukanlah rezekinya, tetapi tetap gembira dengan kemenangan selesa ini dan kini mengalihkan fokus kepada perlawanan selepas ini dan juga Kelayakan Akhir Piala Asia.

Tindakannya yang membenarkan Guilherme De Paula mengambil penalti mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan dan Safawi mengakui ianya bertujuan menaikkan semula moral rakan penyerangnya itu.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan permainan saya. Saya cuba berikan yang terbaik untuk pasukan malam ini tetapi belum rezeki saya untuk menjaringkan gol. Alhamdulillah atas kemenangan ini dan kini fokus kami tetap kepada aksi Kelayakan Piala Asia.

“Kami masih mempunyai masa lebih kurang seminggu untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada. Saya masih mahu menjaringkan gol kerana semua orang kenal saya sebagai penjaring gol.

“Saya tidak kisah pun siapa yang menjaringkan gol asalkan pasukan mencapai kejayaan. Saya bagi peluang kepada De Paula kerana beliau sudah lama tidak menjaringkan gol dan juga sebagai usaha mengembalikan semula moral beliau,” kata Safawi kepada wartawan selepas perlawanan.

Dalam perlawanan ini juga, Safawi buat julung kali menjadi kapten pasukan apabila masuk pada babak kedua menggantikan seorang lagi kapten skuad negara, Safiq Rahim.