PERAK FC tampil menjawab respons dikemukakan oleh bekas pengendalinya, Datuk Lim Teong Kim yang membuat representasi berkenaan pemecatan yang tidak sah oleh kelab itu pada 24 Mei lalu.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan malam ini, Perak FC menyatakan Teong Kim telah dilepaskan daripada ketua jurulatih dan perkara itu berada di pihak peguam kelab untuk diselesaikan.
“Perak FC ingin menjelaskan bahawa pihak kelab tidak menahan atau berhutang sebarang bayaran kepada mana-mana pekerja, pemain atau jurulatih sehingga kini.
“Perak FC tidak akan mengulas lanjut dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Lim dalam segala utusan beliau di masa hadapan,” kata kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN : “Datang dengan baik, nak tinggalkan Perak FC dengan baik”, Teong Kim tuntut baki gaji
Portal FLASH SUKAN melaporkan jurulatih berusia 59 tahun itu hadir ke Jabatan Perhubungan Perusahaan Ipoh bersama peguamnya Adam Yap pada Selasa.
Menurut Adam, kehadiran ke Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk membuat representasi kepada jabatan tersebut di atas perkara penamatan kontrak pra matang.
Sebagai rekod, Teong Kim yang juga merupakan bekas Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (2013) dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (2016) dilantik secara rasmi sebagai pengendali The Bos Gaurus dengan kontrak dua tahun pada September 2022.