KHABAR gembira mungkin akan diterima oleh penyokong Kedah Darul Aman FC apabila satu hantaran di laman sosial rasmi kelab memberi bayangan permulaan baharu buat Sang Kenari.
Ura-ura kemasukan pemain import baharu semakin bertiup kencang selepas Kedah melepaskan penyerang utama, Willian Lira secara persetujuan bersama dua minggu lalu sekaligus membuka laluan untuk kemasukan pemain baharu.
Temubual antara FLASH SUKAN dan pemegang saham majoriti Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Daud Bakar juga mengesahkan Sang Kenari akan membawa masuk beberapa muka baharu pada jendela perpindahan kedua pada Julai untuk menambah kekuatan pasukan dan melakukan perubahan bagi menarik minat lebih ramai penyokong.
“Kedah akan bergerak untuk mendapatkan bakat-bakat baharu. Kita mahu tambah kekuatan, bukan untuk ganti tetapi untuk berikan saingan dalam pasukan dan penyokong juga mahu melihat pemain baharu. Kami cuba lakukan perubahan setiap masa dan Kedah akan ada seorang atau dua wajah baharu,” katanya.
Pengendali Kedah, Nafuzi Zain sudah tentu mempunyai beberapa pilihan pemain bagi memantapkan lagi skuad sedia ada bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan juga pertandingan Piala Malaysia yang akan bermula pada Ogos.
Kedah kini sedang dalam rangka persiapan menghadapi Terengganu FC pada 3 Julai di Kuala Terengganu dengan kemenangan akan memastikan mereka kekal di tangga ketiga, bersaing rapat dengan Selangor dan Sri Pahang.
Adakah pengumuman yang akan dilakukan ini bakal menjadi hadiah Aidiladha buat penyokong Kedah, yang sudah lama menunggu perkhabaran baik melibatkan pasukan kesayangan mereka ini. Biar Jasa Jadi Kenangan.