100PLUS, minuman isotonik nombor satu Malaysia, mengumumkan pelantikan sensasi berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang sebagai duta jenamanya untuk dua tahun akan datang. Perkongsian antara 100PLUS dan Azizul diumumkan pada Sesi Townhall F&N pada Selasa.
Azizul, pemenang pingat perak Olimpik dan bekas pemenang kejohanan dunia keirin, telah diperkenalkan secara rasmi kepada peserta townhall yang gembira dengan berita dan peluang bertemu pelumba basikal bintang itu.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Fraser & Neave Holdings Bhd (FNBH) Y.A.M. Tengku Syarif Perlis Bendahara Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FNBH, Lim Yew Hoe.
Pegawai pengurusan kanan lain yang hadir adalah Pengarah Urusan, Penglibatan Kerajaan dan Industri FNBH, Datuk Raffiq Md Ariff, Pengarah Urusan FNBH, Operasi Komersial Malaysia, Ng Eng Cheang dan Pengarah Perniagaan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Leong Wai Yin.
Sementara itu, ini respons Azizul selepas dilantik sebagai duta jenama air isotonik.
“Latihan dan persediaan untuk mendapatkan hadiah utama di pertandingan utama seperti Sukan Asia dan Olimpik memerlukan jumlah sumber yang banyak. Saya bersyukur 100PLUS, minuman isotonik terkemuka negara kita, telah meningkatkan sokongan saya dalam usaha saya untuk berjaya di pentas dunia.
“100PLUS adalah rakan kongsi yang ideal untuk saya kerana semangat dan keinginan mereka untuk membantu pembangunan sukan Malaysia. Saya teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.
Azizul kelahiran Dungun baru-baru ini tampil bergaya dalam acara berganda di Kejohanan Berbasikal Trek Asia Nilai, dan memenangi pingat emas keirin dan pecut.
Persembahan menakjubkannya menentang pelumba terbaik di Asia melonjakkan ranking dunianya meningkat kepada kedudukan ketiga dalam keirin dan keenam dalam pecut.
Semua mata kini tertumpu kepada Azizul apabila beraksi di Sukan Asia di Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Okt tahun ini.
Azizul akan menyertai seorang lagi legenda global, Datuk Wira Lee Chong Wei, sebagai Duta Jenama 100PLUS. Duta jenama lain termasuk Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, Pearly Tan dan M. Thinaah dan Ng Tze Yong.
100PLUS ialah penaja rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia dan Majlis Sukan Negara. 100PLUS juga merupakan rakan kongsi minuman rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC. Selain itu, 100PLUS bekerjasama rapat dengan Persatuan Penulis Sukan Malaysia dan merupakan penaja utama untuk Anugerah SAM 100PLUS tahunan.