MUHAMMAD Haikal Nazri akan digandingkan sementara bersama Muhd Fazriq Mohd Razif Sidek di Kejohanan Kebangsaan bulan depan, selepas dia ditinggal tanpa pasangan sebaik Nur Izzuddin Rumsani memutuskan mahu kembali bersama gandingan asal, Goh Sze Fei.

Perkara itu disahkan jurulatih beregu lelaki, Tan Bin Shen sambil mengakui, gandingan sementara itu sebagai sebahagian daripada eksperimentasi, sebelum memutuskan gandingan yang paling sesuai buat Haikal.

Selain Haikal-Fazriq, satu lagi gandingan pecahan disenarai menyertai Kejohanan Kebangsaan membabitkan Wong Vin Sean dan Choong Hon Jian, manakal beregu lelaki lain kekal dengan gandingan asal.

Pernah menyinar… Wan Arif Wan Junaidi bersama Muhammad Haikal Nazri, muncul naib juara New Orleans 2022.

“Haikal (Muhammad Haikal Nazri) akan bergandingan dengan Fazriq (Muhd Fazriq Mohd Razif Sidek), (Wong) Vin Sean akan bergandingan dengan (Choong) Hon Jian, ini sahaja pasangan yang dianggap sementara.”

Selepas Sze Fei dan Izzuddin memutuskan untuk kembali bergandingan, nasib Haikal menjadi tanda tanya apabila terkontang kanting sendirian tanpa pasangan.

Bin Shen mengakui gandingan Haikal dan Fazriq bersifat sementara dan tidak menolak mereka kini berada dalam fasa eksperimentasi, untuk menilai keserasian dan kemampuan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky turut mengesahkan perkara itu.

Choong Hon Jian (kanan) sebelum ini digandingkan bersama Goh Sze Fei.

“Saya sudah berbincang dengan Haikal, dia akan bersama Fazriq di Kejohanan Kebangsaan dahulu… jika bagus mungkin kekal jika tidak, kita akan melihat pilihan lain.

“Haikal ada menyebut nama pemain yang dia mahu berganding bersama, tapi nanti kami akan mengadakan pertemuan selanjutnya,” kata Rexy.

Haikal sebelum ini bergandingan dengan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi dan digelar pasangan Patatimo, kerana kedua-duanya berasal dari Kelantan dan Terengganu.

Sepanjang 2021, mereka menjuarai Kejohanan Antarabangsa Terbuka Austria, Kejohanan Antarabangsa Hellas, naib juara di Terbuka Scotland dan Kejohanan Antarabangsa Latvia.

Pada 2022, mereka muncul naib juara Orleans Masters di Perancis, sebelum dipisahkan bagi membolehkan Izzuddin bergandingan dengan Haikal.

Gandingan Izzuddin dan Haikal membawa keputusan segera menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia hujung tahun lalu dan naib juara China Masters pada Mac lalu.

Namun kini Izzuddin mahu bergandingan semula dengan Sze Fei, sekali gus meletakkan Haikal dalam situasi sukar.

Sementara itu, Bin Shen berkata, tiga beregu lelaki utama negara tidak akan beraksi di Kejohanan Kebangsaan Petronas, bagi memberikan keadilan kepada pemain lain.

Justeru, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak tersenarai ke Kejohanan Kebangsaan 4 hingga 9 Julai depan.

“Tiga pasangan ini tidak akan ikut serta, kerana mereka juga akan melakukan persiapan ke kejohanan Terbuka Korea pada 18 hingga 23 Julai depan,” kata Bin Shen.