SEBELUM bermula aksi Sukan Asia di Hangzhou, China, skuad wushu negara sudahpun tewas.

Perkara itu ditegaskan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM), Datuk Chong Kim Fatt, yang mengakui prestasi di Sukan Sea Kemboja, menjadi bukti pasukan wushu negara terkebelakang berbanding negara serantau.

Menurutnya, ketika negara lain mencongak strategi dan menyediakan program komprehensif termasuk mengambil jurulatih sepenuh masa dari China sejak beberapa tahun lalu, Malaysia pula bagai mengambil langkah sebaliknya.

Tegasnya, negara-negara lain yang sebelum ini dilihat bukan kuasa besar sukan wushu terus melakukan kejutan, terutama Iran yang meraih lapan emas dalam acara sanda pada 2019 di Kejohanan Wushu Dunia kali ke-14 yang berlangsung di Shanghai, China dan mengutip dua emas pada Sukan Asia Jakarta 2018.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) yakin wushu mampu sumbang pingat sekiranya kerajaan menyokong program pembangunan terutama dalam acara sanda.

“Kita perlukan perubahan dari pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu sukan wushu terutama memperkasa acara sanda ini. Kalau dilihat keputusan di Sukan Sea Kemboja, Malaysia hanya dapat dua emas dan semua negara turut memenangi pingat.

“Jika pada temasya terdahulu, kita yang teratas kerana memperoleh empat atau lima emas. Sekarang tak boleh lagi kerana mereka mempunyai jurulatih sepenuh masa untuk jalankan program khas mereka.

“Selepas ini, kita juga nak cadangkan kepada menteri agar sukan sanda ini diperkasakan. Sebagai contoh, di Sukan Asia, kita ada lapan acara sanda dan lapan taolu. Saya belum bertolak menyertai Sukan Asia Hangzhou, China, tapi sedar skuad wushu Malaysia sudah kalah kerana kita langsung tak ada atlet, (program) memajukan sanda.

“Ini kita perlu ubah, pada temasya Sukan Sea Kemboja, Indonesia dapat dua emas dalam acara taolu. Kita pun dapat emas tetapi dalam carta pungutan pingat keseluruhan berubah kerana mereka ada enam, empat daripadanya disumbangkan merusi acara sanda,” katanya.

Tambah beliau, sebelum ini sukan wushu di Malaysia lebih menumpukan acara taolu iaitu seni pertunjukkan seperti chanquan, nangun dan taijijian sehingga melahirkan juara dunia seperti Tan Cheong Min, Wong Weng Son dan banyak lagi.

Dalam pada itu Kim Fatt berpendapat, sekiranya sukan wushu mempunyai program sepenuh masa tidak mustahil skuad sushu negara mampu menyumbang pingat dalam acara tersebut.

“Dulu, kita tak dapat kembangkan acara sanda mungkin kerana kurangnya pelaburan, modal ataupun tempat untuk jalankan. Tetapi sekarang, kita perlu jalankan program. Selepas pulang dari Kemboja, kita ada dua gangsa berbanding di Vietnam satu gangsa kerana tidak ada (jurulatih dan atlet sepenuh masa).

“Sekiranya ada yang sepenuh masa, kita memang boleh cakap di Sukan Sea, sanda kita boleh dapat setidak-tidaknya satu emas, dan (ditambah acara lain), sudah dapat lebih lagi. Sehingga 2027, saya saya percaya boleh dapat lebih emas.

“Tetapi setakat ini, kita masih guna program 2010 berbanding negara lain, mereka sudah gunakan yang terkini membabitkan sains sukan ataupun latihan penuh di China,” ujarnya.