PASUKAN Bawah 19 Tahun wanita kebangsaan melupakan sambutan Hari Raya Aidiladha berikutan terikat dengan tuntutan latihan kem latihan pusat sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala AFF Wanita B-19 di Palembang, Indonesia awal Julai ini.
Seramai 25 pemain telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Malayan Tigress B-19, Cameron Ng bagi menyertai kem latihan pusat sejak 17 Jun 2023 dan mereka kini giat menjalani latihan bagi menghadapi Singapura dan Vietnam yang diundi bersama-sama dalam Kumpulan B.
Walaupun masih muda, pemain-pemain ini sudah belajar erti berkorban apabila terpaksa mendahulukan tugasan demi negara berbanding berhari raya bersama keluarga dan ianya menepati konsep Aidiladha itu sendiri.
Namun begitu, Cameron yang dihubungi FLASH SUKAN memberikan khabar gembira buat para pemainnya apabila dia memberikan cuti khas sehari buat semua pemain untuk meraikan Hari Raya Korban.
“Hari raya pertama sahaja saya berikan mereka cuti dan kemudian mereka akan kembali menjalani latihan pada Jumaat sebagai persiapan terakhir sebelum kami berlepas ke Palembang,” katanya.
Cameron turut menyatakan bahawa dia sudah semakin menjumpai barisan terbaik untuk dibawa ke Palembang dan akan mengumumkan perkara ini dalam masa terdekat.
“Kesemua pemain berada dalam keadaan yang baik dan menjalani latihan dengan bersemangat. Saya sudah mendapat gambaran mengenai barisan yang terbaik dan akan mengumumkan senarai akhir pemain dalam beberapa hari lagi,” jelasnya.
Skuad Malayan Tigress akan memulakan cabaran berhadapan Singapura pada 8 Julai sebelum bertemu Vietnam pada 10 Julai dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Padang Atletik Jakabaring, Palembang.