LANGKAH pasangan beregu skuasy Malaysia, Ivan Yuen-Rachel Arnold untuk menjadi juara terhenti apabila tewas dengan beregu India, Harinder Sandhu-Dipika Pallikal Kathrik di pentas akhir Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023 pada Jumaat.
Yuen-Arnold tewas 10-11, 8-11 dalam aksi mendebarkan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik, Ghuangzhou dan menyaksikan, beregu India secara tiba-tiba menukar bola permainan ketika mata 10-10 dengan mendahului 1-0 dari Malaysia.
Pada set kedua, Yuen-Arnold dilihat bertarung dengan baik namun masih ketinggalan 5-6 ketika mereka berusaha untuk mendahului mata Harinder-Dipika.
Sandhu menamatkan permainan dengan pukulan akhir menjadikan mata 8-11 sekaligus bergelar juara untuk kejohanan tersebut dengan kemenangan 2-0.
Terdahulu, Ivan-Rachel berjaya melangkah ke pentas akhir kejohanan apabila berjaya menewaskan beregu dari India, Abhay Singh-Ahanat Singh pada peringkat separuh akhir yang bangkit di set kedua 11-4 selepas ketinggalan 10-11 pada set pertama dan seterusnya menang di set penentuan, 11-6 pada Khamis.
Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia 2023 melibatkan 21 pasukan yang menampilkan skuasy beregu campuran untuk pertama kalinya dalam sejarah sukan Asia.