PEMINAT Sang Kenari percaya era kebangkitan mendadak Kedah Darul Aman (KDA) FC akan bermula pada baki pusingan kedua Liga Super musim ini.
Semalam, ketika sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar puluhan penyokong hadir menyaksikan kelibat dua import baharu, Ifedayo Olusegun dan Moses Atede Jona turun padang bersama rakan sepasukan lain.
Malah, ada kalangan peminat Hijau Kuning sanggup menunggu sehingga selesai untuk mengambil kesempatan bergambar bersama Atede dan Ifedayo termasuk golongan kanak-kanak.
Tinjauan di Facebook KDA FC rata-rata optimis kehadiran duo pemain asing asal Nigeria itu dapat memberikan dimensi baharu kepada pasukan kendalian Nafuzi Zain.
Seorang netizen Azwan Bistani menulis : “Alhamdulillah.. Harap Kedah selesaikan masalah tumpul di bahagian depan. Mampu mencipta gol lebih banyak. Cuma tumpukan perhatian bahagian pertahanan. Insya Allah, ada piala musim ini.
Abd Wahab Romzan pula percaya, Ifedayo dan Moses Atede bakal menjadi medan tuai (peledak) yang padu.
Aksi Atede dan juga Ifedayo bersama Sang Kenari pastinya menjadi sesuatu yang amat dinantikan penyokong setia KDA FC selepas jendela perpindahan pemain yang akan dibuka semula bermula pada 5 Julai ini.
Kedah kini dalam misi memburu tiga mata menjelang pertemuan menentang Terengganu FC dalam kunjungan tempat lawan di Gong Badak, pada Isnin.