PEMAIN penyerang import baharu Selangor FC, Richmond Boakye tidak sabar mahu berjumpa dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana dia suka dengan cabaran apabila bertemu dengan pasukan-pasukan yang besar.

Dia yang turut sama menyaksikan aksi separuh akhir ketika Selangor tewas kepada JDT percaya Harimau Selatan mampu ditewaskan dan hanya beberapa kesilapan menyebabkan kekalahan skuad Gergasi Merah.

“Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan pasukan yang tewaskan kami 4-0. Saya menonton perlawanan itu dan kami hanya melakukan satu atau dua kesilapan. Kami bermain baik pada babak kedua dan saya rasa pasti ada perkara yang boleh kalahkan mereka.

“Saya suka bermain dengan pasukan seperti ini kerana apabila anda jaringkan gol dan tewaskan mereka, anda pulang ke rumah dan merasa puas hati. Ianya cabaran besar tetapi saya mahu mengambil cabaran ini,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi Selangor FC.

Boakye yang bakal menggalas tugas sebagai penyerang utama gembira berada di Malaysia dan menganggap rakyat negara ini menghormati orang luar dan memberikan keselesaan buat dirinya untuk fokus kepada latihan.

“Saya disini mahu membantu pasukan menjaringkan lebih banyak gol kerana ianya akan memberikan kami mata yang lebih dan juga mahu memenangi liga meskipun sedar ianya bukanlah tugas yang mudah.

“Bola sepak adalah permainan berpasukan. Saya berjaya jaringkan banyak gol di kelab sebelum ini adalah kerana usaha berpasukan dan bukannya individu,” kata pemain yang meminati Asamoah Gyan dan Thierry Henry.

Dia juga sedang cuba membiasakan diri dengan keadaan cuaca panas di sini dan gembira dengan progres menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan serta percaya Selangor mampu pergi lebih jauh.