PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe akan menurunkan kesebelasan terbaik walaupun bertemu pasukan yang sedang bergelut, Kuching City FC untuk aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Isnin.
Ini perlu dilakukan Gergasi Merah yang mahu bangkit semula selepas tersingkir dari saingan Piala FA apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim 0-4 dalam aksi separuh akhir di Iskandar Puteri minggu lalu.
Cheng Hoe juga mahu para pemainnya mempunyai keyakinan penuh pada pasukan apabila beraksi kerana konsistensi masih menjadi masalah utama buat Selangor FC musim ini.
“Kita tidak ada perancangan untuk rehatkan pemain ketika bertemu Kuching City kerana mana-mana jurulatih pasti mahu menurunkan barisan terbaik kerana kami perlukan mata dan keputusan yang baik.
“Memang kita tahu untuk berada dalam pasukan terbaik dalam liga kami perlu lebih konsisten dan lebih keyakinan. Ini adalah proses kita untuk bentuk pasukan pada masa depan.
“Sudah tentu kita perlu bermain secara konsisten kerana kekalahan akan menjejaskan moral pasukan dan keyakinan. Atas sebab itu saya ingatkan pemain dalam setiap perlawanan untuk mempunyai keyakinan pada pasukan,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan rasmi Selangor FC.
Dalam perkembangan yang sama, bekas pengendali skuad kebangsaan itu juga mendedahkan bahawa Selangor akan turun tanpa dua tonggak pertahanan yang mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir Piala FA.
“Fazly Mazlan dan Yazan Al-Arab yang dikeluarkan awal ketika menentang JDT mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi bertemu Kuching City namun kami mempunyai barisan pemain yang berkualiti dan mereka bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” jelasnya.
Selangor perlu mendapatkan tiga mata bagi memastikan mereka terus mengekori JDT di tangga kedua manakala Kuching City juga sudah tentu mahukan keputusan yang positif untuk keluar dari kelompok bawahan liga.