KEM Terengganu FC (TFC) terus dilanda ‘ribut’ menjelang kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) dalam misi getir kembali ke landasan kemenangan, Isnin malam.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, Sang Penyu akan turun tanpa sekurang-kurangnya empat awang import akibat penggantungan dan kecederaan.
Selain itu, kelibat penjaring terbanyak, Jordan Mintah turut dilupakan setelah penyerang Ghana itu digugurkan ke skuad TFC II ekoran masalah disiplin.
“Ini adalah insiden kedua membabitkan Mintah dan saya tidak mahu bekerja dengan pemain yang tidak percayakan saya. Ini adalah keputusan saya.
“Saya bukan jurulatih yang suka bercakap sesuatu di belakang, pemain-pemain perlu meletakkan disiplin sebagai nombor satu. Ini kerana kami bergantung kepada satu sama lain.
“Adisak (Kraisorn) akan menjadi penyerang utama bertemu KDA,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada sesi latihan Sang Penyu, semalam.
Menurut Tomislav, tiga lagi tonggak terpaksa disisihkan iaitu Ivan Mamut dan Argzim Redzovic yang digantung perlawanan manakala Sardor Kulmatov masih bergelut dengan kecederaan lutut.
Situasi itu memaksa jurulatih kelahiran Croatia itu memanggil pemain TFC II untuk menyertai skuad utama antaranya tonggak Harimau Muda, Ubaidullah Shamsul dan Nur Azfar Fikri Azhar.
“Kami tewas 0-1 kepada KDA di Alor Setar dan walaupun sukar, TFC tiada pilihan selain membalas dendam atas kekalahan itu di depan penyokong sendiri.
“KDA turun tanpa Lee Tuck dan Manny Ott tetapi kami juga ada masalah sendiri. Jadi ianya akan memberi cabaran kepada kedua-dua pasukan,” katanya.