PENYOKONG tegar skuad bola sepak negara, Syazmeer Omar menegaskan dia kurang berpuas hati dengan kemenangan 4-0 pasukan negara ke atas Brunei malam tadi.
Dia menyifatkan perlawanan semalam (Sabtu) sepatutnya disudahkan dengan jaringan gol yang lebih besar, namun ianya tidak terjadi.
Malah dia tidak setuju apabila Ketua Jurulatih Kim Pan-gon menyenaraikan Guilherme De Paula dalam kesebelasan utama dan masih memberi peluang kepadanya mengambil sepakan penalti tersebut.
“Saya rasa kita kena menang besar, bagi saya ini masih gagal. Saya pelik kenapa masih Pan-gon masih hendak kekalkan kuda tua, penalti siapa pun boleh gol,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Pun begitu Syazmeer sangat gembira dengan corak permainan high pressing’ yang digunakan jurulatih Korea itu sambil menyifatkan masih terlalu awal untuk menyalahkan mana-mana pihak buat masa ini.
Dia berharap skuad bolasepak negara akan memperbaiki ruang-ruang yang masih longgar dan menumpukan kepada penyudah terakhir.
“Saya tidak boleh salahkan sesiapa tetapi apa yang pasti saya suka corak serangan sebegini. Saya harap kita boleh perbaiki dan dapat lebih banyak gol,” tambahnya.
Skuad bolasepak negara bakal melayan kunjungan Hong Kong pada 1 Jun pada aksi kedua persahabatan Tier 1 yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.