WONG Choong Hann akan memulakan tugasannya sebagai jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong, secepat mungkin.
Bekas pengarah kejurulatihan perseorangan, Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu berkata, Persatuan Badminton Hong Kong (HKBA) mahukannya menjalankan tugas itu serta merta, selepas mereka kehilangan Wong Tat Meng yang kini melatih pemain profesional negara, Lee Zii Jia.
“Saya diberi kontrak dua tahun… tawaran ini datang tiba-tiba dan saya diperlukan segera,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Menurutnya, selepas selesai urusan visa, beliau akan segera ke Hong Kong, namun tidak membawa keluarganya bersama.
Ketika ditanya mengenai tawaran daripada HKBA itu, beliau berkata: “Peletakan jawatan saya… saya rasa satu dunia tahu dan menyedarinya, jadi tiba-tiba sahaja datang tawaran, ya tawaran ini datang selepas saya meletak jawatan kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia).
“Tiada apa yang istimewa sangat… biasalah apabila kita berkerja sebagai jurulatih, kena terima bergerak dan berpindah ke sini sana.”
Ujar Choong Hann lagi, Hong Kong memerlukan jurulatih terutamanya ketika pemain di seluruh dunia, berlumba-lumba mengejar mata kelayakan ke Olimpik Paris.
Terdahulu sebuah portal sukan Hong Kong, “sportsroad.hk” mendedahkan bekas naib juara kejohanan dunia itu akan menggantikan bekas jurulatih perseorangan lelaki negara itu, Wong Tat Meng yang mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya bulan lalu.
Menurut hantaran itu, Choon Hann dijangka melaporkan dirinya pada Jumaat ini dengan tugasnya untuk mempersiapkan skuad perseorangan lelaki Hong Kong yang diketuai Ng Ka Long bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Tindakan Hong Kong mengambil jurulatih dari Malaysia itu, dipercayai mahu meneruskan kesinambungan program yang telah diatur oleh Tat Meng yang bertindak menjadi jurulatih pemain profesional negara Lee Zii Jia.
Selain Choong Hann, Hong Kong juga sebelum ini turut memancing bekas jurulatih Malaysia, Flendy Limpele bagi mengetuai barisan kejurulatihan beregu negara itu.