PENYERANG Kuching City FC, Abu Kamara jelas kecewa dengan dirinya sendiri kerana gagal menyempurnakan dua peluang terbuka yang mungkin boleh memberikan keputusan berbeza buat pasukannya dalam perlawanan bertemu Selangor FC pada Isnin.
Bekas penjaring terbanyak Liga Premier 2022 itu menganggap dirinya tidak bernasib baik dan mahu fokus kepada perlawanan seterusnya bertemu Sabah FC dengan kehadiran tiga pemain import baharu yang menyertai pasukan ketika jendela perpindahan kedua dibuka.
“Saya mempunyai peluang untuk jaringkan gol tetapi tidak bernasib baik. Saya tidak kecewa dengan pasukan tetapi kecewa dengan diri saya kerana mempunyai dua peluang untuk hukum Selangor.
“Selepas ini kami akan mempunyai rakan sepasukan yang baharu dan ianya akan jadikan kami pasukan yang berbeza apabila bertemu Sabah dan ianya satu perkara yang baik untuk pasukan, mereka mampu membantu pasukan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Kamara juga menjelaskan bukan mudah bermain di Liga Super berbanding di Liga Premier musim lalu dan dia perlu bekerja lebih keras dan mendapat kerjasama dari rakan sepasukan untuk menjadi pemain yang lebih hebat.
“Musim lalu saya di Divisyen 2 dan kini di Liga Super dengan lebih banyak pemain yang bagus dan berpengalaman. Jadi saya perlu bekerja lebih keras lagi, dan saya ada rakan sepasukan untuk membantu saya meningkatkan permainan,” tambahnya.
Selepas dua musim di Malaysia, dia gembira berada di Kuching City dan Liga Malaysia dengan melihat liga ini semakin berkembang setiap musim.