BEBANAN hutang dipercayai melebihi RM2 juta boleh merencatkan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang akan berlangsung dari 23 hingga 30 September ini sekiranya ia tidak diselesaikan seberapa segera.
Malah impaknya juga boleh menyebabkan penganjuran LTdL kehilangan status ProSeries dan pembabitan tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam).
Justeru, masalah perlu diselesaikan segera Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipertanggungjawabkan menjadi penganjur perlumbaan LTdL kali ni.
Jika tidak, berkemungkinan besar LTdL akan digugurkan dari kalendar UCI tahun depan.
Kebimbangan itu disuarakan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang mendedahkan lima pasukan pada edisi tahun lalu, membuat laporan kepada Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) kerana tidak dibayar yuran penampilan seperti yang dijanjikan.
Beliau yang ditemui pada Majlis Pelancaran LTdL 2023 di Menara KBS, mendakwa penganjur sebelum ini iaitu Human Voyage (HV) masih berhutang dengan pasukan melebihi RM1 juta membabitkan yuran penampilan.
“Kalau nak ikutkan perlumbaan tahun lalu berjalan dengan baik. Tapi masalah yang timbul adalah dari segi hubungan antara pasukan dan penganjuran edisi lalu yang menimbulkan masalah dan hingga kini masih belum diselesaikan.
“Isu paling besar adalah, jika kita tak dapat atasi masalah hutang itu pada tahun ini, berkemungkinan besar UCI tidak lagi akan mendaftarkan LTdL dalam kalendar.
“Sebabnya pasukan akan tanya apa jaminan yang untuk mereka kali ini, supaya perkara lalu tak berulang, jadi kita doakan perkara ini dapat diatasi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa wang hadiah kemenangan bernilai RM850,000 sudah diselesaikan kepada semua pemenang.
Untuk rekod, HV diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menganjurkan perlumbaan LTdL antara 2019 hingga 2021 dan ia dilanjutkan sehingga tahun lalu selepas penganjuran edisi 2021 terpaksa ditunda susulan pandemik Covid-19.
Selain diberi kepercayaan menganjurkan LTdL dengan kontrak tiga tahun itu, HV salah sebuah syarikat pengurusan acara yang terkenal di negara ini, menjadi hos LTdL buat kali pertama pada edisi ke-20 pada 2015.
Abu Samah turut memaklumkan bahawa mereka cuba berhubung dengan HV menerusi panggilan telefon namun tidak dijawab selain tiada individu berada di pejabat.
Katanya, kini satu jalan penyelesaian yang mana HV dimaklumkan bahawa masih belum menuntut wang bernilai RM1.1 juta dan wang bon RM400,000 dari KBS dan Abu Samah meminta agar wang itu tidak dilepaskan kepada mereka (HV) supaya ia dapat dibayar kepada pasukan yang buat tuntutan.