KEMBALI ke tanah air, bukan sesuatu yang dirancang Wong Tat Meng, namun mengakui tawaran secara tiba-tiba daripada Team LZJ membuatkannya berfikir, inilah peluang ‘memberi’ semula kepada rakyat Malaysia.

Tat Meng, 55, berkata, tidak pernah wujud ‘gerakan’ tersusun atau dicancang dibuat bagi mendapatkan khidmatnya, namun beliau berasakan perlu membuat pertimbangan sewajarnya.

“Sudah lama saya mengenal Lee Zii Jia tetapi sebelum ini kami tidak pernah berbincang mengenai tawaran kepada saya untuk melatihnya.

“Walaupun Zii Jia pernah menjalani selama dua minggu di Hong Kong, tidak ada apa-apa petanda bahawa mereka (Team LZJ) akan memerlukan khidmat saya.

“Jadi, baru-baru ini apabila mereka beritahu mahu melantik saya sebagai jurulatih, saya mengambil masa untuk berfikir semasa-masaknya,” kata Tat Meng menerusi temu bual khas Team LZJ yang dikongsi di laman sosial.

Semalam secara rasmi menjadi hari kedua Wong Tat Meng melatih Lee Zii Jia. Pix Team LZJ

Untuk rekod, pada April lalu, Zii Jia menjalani latihan selama dua minggu di Hong Kong, sebagai persiapan ke Kejohanan Badminton Asia yang berlangsung di Dubai, dalam usaha mempertahan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Sepanjang di sana, Zii Jia  yang ketika itu menghuni tangga keempat dunia, menjalani latihan bersama perseorangan utama Hong Kong, Ng Ka Long yang ketika itu menghuni tangga ke-17, Lee Cheuk Yiu (20) dan Chan Yin Chak (91), di bawah pemantauan Tat Meng.

Lee Zii Jia (tiga dari kiri) bergambar dengan pemain kebangsaan Hong Kong termasuk Ng Ka Long (dua dari kiri), ketika menjalani latihan bersama sebagai persiapan ke Kejohanan Badminton Asia di Dubai, April lalu. Pix Team LZJ

Sementara itu, menurut Tat Meng lagi, beliau tiada masalah dengan Persatuan Badminton Hong Kong (HKBA): “Suasana berkerja dengan pemain dan persatuan Hong Kong… semuanya sangat lancar.

“Baik dari segi kerja, kehidupan saya juga stabil, maklumlah saya dalam situasi settle down.

“Apabila ada tawaran… saya fikir bahawa Lee Zii Jia adalah pemain perseorangan lelaki utama Malaysia, negara saya sendiri dan memerlukan bantuan.

“Saya pula sudah tujuh tahun berbakti di luar negara, mungkin ini masanya untuk saya pulang ke tanah air berbakti untuk kemasyhuran Malaysia.”

Beri perhatian… Lee Zii Jia mendengar nasihat daroipada Wong Tat Meng ketika rehat latihan Team LZJ. Pix Team LZJ

Namun, keputusan diambilnya itu tidak dibuat dengan mudah kerana beliau sendiri mengakui memikirkannya secara mendalam malah tidak dapat tidur lena selama tiga malam.

Ketika ini, ranking dunia Zii Jia merudum ke kedudukan 16 dunia, ketinggalan tiga tangga di belakang Ka Long (13) dan hanya satu tangga di hadapan Cheuk Yiu (17) malah ranking Yin Chak juga meningkat mendadak ke tangga ke-78.

Justeru, situasi ini menjadi peluang terbaik buat Tat Meng membuktikan sentuhannya bukan sahaja dapat membantu Zii Jia layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, malah meletakkan kembali perseorangan lelaki negara itu kedudukan lebih baik, mengatasi pemain Hong Kong.