KECEDERAAN pangkal paha Muhammad Azeem Fahmi, dilaporkan pulih dan bersedia untuk mengibar cabaran di Kejohanan Olahraga Asia, di Pattaya, Thailand.
Jaguh pecut negara itu berada di Universiti Pendidikan Sultan Idris ketika ini, menyertai kem latihan pusat bersama pelari pecut negara yang lain sambil dipantau jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim sepanjang berada di sini.
“Azeem sudah berada dalam fasa bersedia untuk kejohanan Asia. Kecederaannya juga sudah pulih.
“Di UPSI ini kami sediakan perkhidmatan fisioterapi khas untuk Azeem dan atlet yang lain. Insya-Allah semua akan berjalan lancar dan doakan kejayaan atlet kita di Thailand nanti,” kata Poad.
Azeem mengalami kecederaan pangkal paha kanan di Kejohanan Trek dan Padang Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Mei lalu, berpotensi untuk menaiki podium di Kejohanan Asia 12 hingga 16 Julai kali ini berdasarkan rekod ranking 100m Asia 2022 yang menyaksikan dia berada di kedudukan kelima dengan catatan rekod kebangsaan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.
Kehadiran jurulatihnya, Ken Harnden yang bertanggungjawab membimbing Azeem di Universiti Auburn di Amerika Syarikat (AS), yang akan diterbangkan khas untuk memantau prestasinya di Pattaya nanti, diharap mampu membawa sinar buat kem olahraga negara.
Di Pattaya nanti Azeem dijangka menerima tentangan dari Yupun Abeykoon dari Sri Lanka yang kini memegang status nombor satu Asia tahun lalu dengan catatan 9.96s manakala Abdul Hakim Sani Brown (Jepun) di kedudukan kedua, 9.98s.
Seorang lagi atlet Jepun, Ryuichiro Sakai berada di kedudukan ketiga dengan catatan 10.02s.
Di Pattaya, Azeem akan beraksi dalam acara 100m dan 4x100m bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Muhammad Thaqif Hisham.