BOLA sepak sememangnya sinonim dengan kaum lelaki namun dewasa ini semakin ramai kaum wanita yang sudah mula bermain permainan ini malah ada yang dapat menyaingi pemain lelaki.
Perkara ini menyebabkan ada beberapa pihak yang sudah mula memperjuangkan hak sama rata antara pemain lelaki dan wanita terutama dari sudut gaji dan agihan pendapatan dari penajaan sesuatu kejohanan.
Meskipun sudah semakin terkenal dan berkembang, namun persepsi masyarakat terhadap anak-anak gadis bermain bola sepak masih dianggap pelik terutama di Malaysia hingga sukar untuk menukar mentaliti sebegini.
Perkara ini diakui sendiri oleh pengendali skuad wanita Bawah 19 kebangsaan, Cameron Ng yang menyatakan masih ada persepsi negatif masyarakat tentang bola sepak wanita namun kini ianya semakin berubah apabila lebih banyak pendedahan dilakukan kepada orang ramai tentang bola sepak wanita
“Bola sepak sememangnya secara tradisi adalah permainan lelaki tetapi kini bola sepak wanita semakin berkembang. Masyarakat perlu faham dalam melihat bahawa bola sepak adalah sukan yang tidak mengira jantina seperti sukan yang lain.
“Dengan semakin banyak pendedahan, saya rasa semakin ramai ibu bapa dan penjaga yang semakin sedar bahawa bola sepak kini mempunyai masa depan dan boleh digunakan untuk menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Cameron juga percaya bola sepak wanita di negara ini akan berkembang dengan baik terutama dengan kewujudan Liga Wanita Nasional (LWN) yang bakal berlangsung dari Julai hingga November 2023 sekaligus mewujudkan lebih banyak pemain berkualiti untuk mewakili negara.
“Salah satu cabaran yang kita hadapi, kebanyakan pemain wanita tidak ada perlawanan kompetitif. Jadi apabila kita bandingkan dengan lelaki mereka bermain secara kerap dengan adanya perlawanan liga.
“Pemain wanita ini mereka kerja, selepas kerja mereka kena masuk kem, kadang-kadang saya fikir lagi susah untuk wanita sebab mereka perlu buat dua kerja dalam satu masa, mereka kena kerja untuk cari makan dan juga bermain bola.
“Perkara ini tidak ramai yang tahu betapa susahnya para pemain wanita ini untuk bermain. Dengan kehadiran liga wanita dan perlawanan kompetitif yang disediakan, diharap boleh lihat mereka bermain secara konsisten dan meningkatkan kebolehan mereka sekaligus memperbanyakkan lagi pemain yang bakal dilahirkan.”