KETUA Jurulatih skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia mempunyai keyakinan maksimum terhadap pasukan kendaliannya untuk muncul sebagai pemenang apabila berhadapan Sabah dalam aksi suku akhir pertama Liga Premier Futsal Kebangsaan MPFL pada Sabtu.
JDT yang layak ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A terbang ke Kota Kinabalu dengan harapan membawa pulang kelebihan agregat sebelum beraksi pada suku akhir kedua di Pasir Gudang yang dijadualkan pada 15 Julai 2023.
Juan Miguel menegaskan skuadnya mempunyai persiapan yang lebih baik kerana mempunyai tambahan masa seminggu ekoran tidak beraksi pada minggu terakhir peringkat kumpulan.
“Persiapan ke suku akhir lebih baik kerana kami mendapat tambahan masa satu minggu kerana tidak bermain pada perlawanan terakhir kumpulan. Pemain juga berada dalam keadaan terbaik selepas berlatih hampir setiap hari selama lima bulan dan mereka sudah tidak sabar untuk beraksi pada peringkat suku akhir ini.
“Saya mempunyai keyakinan maksimum kepada pasukan ini kerana para pemain memberikan segalanya dalam latihan dan ini terbukti apabila kami berjaya muncul pendahulu Kumpulan B,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Ditanya adakah dia menganggap Sabah sebagai lawan yang mudah, Juan segera menyangkal dakwaan ini dan berkata dia menghormati semua lawan kerana liga ini sungguh kompetitif dan mencabar.
“Semua pasukan saya hormati termasuk Sabah. Liga ini sangat sukar untuk memenangi perlawanan dan sangat kompetitif namun saya percaya dengan kemampuan pasukan ini untuk menang,” ujarnya.
JDT yang melakukan penampilan sulung dalam MPFL mempamerkan aksi cemerlang di peringkat kumpulan berkongsi 31 mata dengan pasukan pilihan, Selangor MAC namun menghuni tangga teratas hasil perbezaan jaringan.