SEMUA mata akan tertumpu ke AFC House Kuala Lumpur pada 27 Julai 2023 apabila undian rasmi Kelayakan Bersama Peringkat Awal Pusingan 1 dan 2 Asia untuk Piala Dunia Fifa 2026 dan Piala Asia AFC 2027 akan berlangsung bermula jam 2 petang.

Sebanyak 45 ‘Member Associations’ (MA) AFC dijangka akan mengetahui laluan masing-masing ke Piala Dunia ke-23 yang dianjurkan secara bersama oleh Canada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Ini adalah kali ketiga dua pusingan awal kelayakan ke Piala Dunia dijadikan juga sebagai kelayakan ke Piala Asia dan buat pertama kali melibatkan 48 pasukan.

 

Disebabkan oleh pertambahan pasukan kepada 48 berbanding 32 sebelum ini, AFC telah melakukan beberapa perubahan kepada format kelayakan apabila kali ini lapan setengah slot ditawarkan kepada negara-negara Asia.

Ini bererti 18 pasukan terbawah dalam ranking Fifa yang dikeluarkan pada 20 Julai bakal memulakan cabaran pusingan kelayakan di Pusingan 1.

Kesemua 18 pasukan ini pula akan dibahagikan dalam sembilan pasangan dengan setiap pasangan akan bermain satu perlawanan di tempat sendiri dan satu lagi perlawanan di tempat lawan yang dijadualkan pada 12 dan 17 Oktober 2023.

Malaysia diletakkan dalam balang 3 kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027

Sembilan pemenang dari Pusingan 1 ini akan mara ke Pusingan 2 dan akan menyertai baki 27 lagi pasukan. 36 pasukan ini kemudiannya akan dibahagikan dalam sembilan kumpulan berempat, yang akan bermain ‘home’ dan ‘away’ secara format ’round robin’ antara November 2023 hingga Jun 2024.

Kesemua sembilan juara kumpulan dan naib juara akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan pada masa yang sama mengesahkan tempat mereka ke Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi.

Undian pusingan ketiga untuk ke Piala Dunia akan dilakukan pada 2024 dimana 18 pasukan akan dibahagikan dalam tiga kumpulan berenam, dengan dua teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 manakala dua lagi slot akan ditentukan dalam pusingan keempat manakala satu lagi slot yang berkemungkinan akan ditentukan menerusi playoff antara benua.

Malaysia diletakkan dalam balang 3 dan akan memulakan cabaran pada Pusingan 2 pada Oktober 2023 dan kini debaran untuk mengetahui siapakah lawan Harimau Malaya.